Sabtu, 21 September 2019 | 12:45am
Aksi tumpuan EPL ini sudah pasti ingin dijadikan oleh Jurgen Klopp dan Frank Lampard untuk melakukan kebangkitan. - Foto AFP

Chelsea mampu musnah rekod Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

TIGA situasi menarik untuk kita saksikan minggu ini. Pertamanya melingkari aksi tumpuan minggu ini antara Chelsea dan Liverpool di Stamford Bridge pada lewat malam esok waktu Malaysia. Keduanya, perlawanan antara Manchester City dan Watford di Etihad dan ketiga kelibat penyerang sensasi Norwich City, Teemu Pukki ketika pasukannya bertandang ke Burnley malam ini.

Kita lihat dulu aksi antara Chelsea dan Liverpool pada jam 11.30 malam itu. Seperti diketahui, kedua-dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) ini hadir di Stamford Bridge dengan mood kecewa dan muram. Mungkin secara kebetulan, kedua-duanya kembali ke pentas domestik dengan rekod tewas pada aksi Liga Juara-Juara di pertengahan minggu.

Ironinya, The Reds adalah penyandang juara piala berprestij di Eropah itu manakala The Blues, pemenang kejuaraan Liga Europa musim lalu. Liverpool dikejutkan 0-2 oleh kelab Serie A Itali, Napoli di Naples manakala Chelsea di gelanggang sendiri, 0-1 kepada kelab La Liga Sepanyol, Valencia. Dengan keputusan itu, kita sudah boleh jangka, apa bakal berlaku di Stamford Bridge malam esok.

Aksi tumpuan EPL ini sudah pasti ingin dijadikan oleh Jurgen Klopp dan Frank Lampard untuk melakukan kebangkitan. Kegagalan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara itu jelas amat mengecewakan terutama buat Klopp selepas cemerlang mencatat lima kemenangan berturut-turut di EPL. Diperkukuhkan lagi sebagai penyandang juara, kekalahan itu jelas turut mengecewakan penyokongnya termasuk di Malaysia.

Kali terakhir skuad The Blues dan The Reds bertemu adalah pada bulan lalu, ketika Piala Super Eropah di Istanbul, Turki yang menyaksikan Liverpool menang menerusi penentuan penalti 5-4 selepas mereka terikat 2-2. Bagaimana kali ini? Mampukah Klopp memerangkap lagi The Blues atau adakah Lampard sebaliknya menjadi pemenang?

Jika meniti rekod, musim lalu, Liverpool berjaya mencuri satu mata dari Stamford Bridge menerusi jaringan penyamaan saat akhir Daniel Sturridge manakala semusim sebelum itu, The Blues menang 1-0. Pada aksi terakhir EPL, minggu lalu Liverpool menewaskan Newcastle 3-1 untuk merakamkan rekod sempurna selepas lima aksi manakala Chelsea menang 5-2 ke atas Wolves dengan Tammy Abraham mencipta hatrik.

Bagi aksi minggu ini, saya jangkakan kedua-dua pasukan ada kelebihan, namun andai kesilapan sama berulang seperti perebutan sepakan penalti ketika aksi Chelsea, ia pasti akan membawa padah.

Sementara itu City yang diaibkan 2-3 oleh Norwich, minggu lalu, pastinya tekad bangkit apabila menyambut kunjungan Watford malam ini. Kejayaan membenam Shakhtar Donetsk, 3-0 di laman lawannya itu pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu sudah pasti menjadi motivasi mereka untuk merakamkan mata penuh.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola kini ketinggalan lima mata di belakang Liverpool dan berharap pencabarnya akan tercicir mata di Stamford Bridge esok.

Pukki (kiri) terus mencuri perhatian peminat EPL apabila minggu lalu menjadi ‘dalang’ kepada kekalahan pertama City. - Foto Reuters

Sementara itu, Pukki terus mencuri perhatian peminat EPL apabila minggu lalu menjadi ‘dalang’ kepada kekalahan pertama City. Satu jaringannya itu bukan saja memastikan pasukannya mengutip mata penuh kedua dari lima aksi, malah meletakkannya didirinya di tangga ketiga senarai penjaring terbanyak liga. Sehingga kini dia sudah menjaringkan enam gol, ketinggalan satu di belakang penyerang City, Sergio Aquero dan Abraham.

Mampukah dia meledak lagi minggu ini? Sebelum ini, dia sudah membolosi gawang tiga gergasi EPL iaitu Liverpool, Chelsea, City selain Newcastle. Hanya West Ham yang gagal ditembusinya. Mungkinkah Burnley bakal menjadi mangsa terbaharu. Kita nantikannya. Sementara itu, Manchester yang menewaskan Astana pada aksi Liga Europa dijangka berdepan kesukaran bertemu West Ham manakala Arsenal harus tiada masalah menjinakkan Aston Villa. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Southampton 1 Bournemouth 1

Leicester 2 Tottenham 2

Burnley 1 Norwich 2

Everton 1 Sheffield 1

Man City 4 Watford 0

Newcastle 1 Brighton 0

West Ham 0 Man United 1

C Palace 1 Wolves 1

Arsenal 2 Aston Villa 0

Chelsea 1 Liverpool 1

Berita Harian X