Khamis, 19 September 2019 | 12:02pm
FRANK Lampard

Lampard hadapi ujian getir lawan Liverpool

MANCHESTER: Pemain muda Chelsea bakal berdepan ujian getir apabila berdepan dengan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, Ahad ini.

Kemenangan mengagumkan 5-2 pasukan Frank Lampard bertemu Wolverhampton Wanderers pada minggu lalu menunjukkan potensi Chelsea dengan penyerangnya, Tammy Abraham melakukan hatrik dan dua lagi produk akademi iaitu Mason Mount dan Fikayo Tomori turut menjadi tumpuan.

Tetapi Chelsea memulakan kempen awal musim dengan keputusan bercampur aduk yang menyaksikan anak buah Lampard tidak konsisten terutama sekali di tempat sendiri – mensia-siakan dua gol awal untuk terikat seri 2-2 dengan Sheffield United dan yang terbaru tewas 0-1 dalam Liga Juara-Juara kepada kelab Sepanyol, Valencia, kelmarin.

Liverpool juga mengalami kejutan di Eropah dengan kekalahan 0-2 kepada Napoli di Itali tetapi pasukan Juergen Klopp berjaya mencipta lima kemenangan daripada lima saingan Liga Perdana setakat ini.

Perlawanan Ahad ini bakal menjadi ujian terbesar Chelsea sejak perlawanan pembukaan apabila tewas 0-4 kepada Manchester United tetapi Abraham yakin mereka bersemangat untuk bersaing.

“Ahad ini adalah ujian ke atas emosi kami. Kami boleh meluahkan kemarahan kami ketika menentang Liverpool selepas kekecewaan di Eropah,” katanya.

“Ia adalah perlawanan yang besar dan kedua-dua pasukan mahu menang. Kami tak sabar untuk membaiki semula (selepas kekalahan kepada Valencia),” kata Abraham.

“Kami akan berdepan dengan banyak tempoh suka dan duka musim ini. Kami akan teruskannya dan sedia berdepan dengannya.” – Reuters

Berita Harian X