Khamis, 19 September 2019 | 7:23am
ZINEDINE Zidane. - Foto EPA

Zidane bingung lihat Real tumbang di Paris

PARIS: Pengendali Real Madrid, bingung dengan corak persembahan anak buahnya ketika menyaksikan juara 13 kali Piala Eropah itu diaibkan 3-0 oleh Paris St Germain dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Lebih malang, Real tenggelam di bahagian tengah dan gagal melepaskan walau satu cubaan tepat ke arah gawang lawan.

"Amat jelas mereka lebih bagus berbanding kami dalam semua bahagian, terutama penguasaan mereka di bahagian tengah,” kata Zidane dalam sidang media selepas perlawanan.

"Apa yang mengejutkan saya ialah pemain saya tidak cukup bertenaga meningkatkan tahap intensiti seperti sepatutnya dalam perlawanan tadi. Ini tidak boleh diterima.

AKSI pemain Real Madrid, Dani Carvajal (kanan) ketika perlawanan menentang pasukan Paris St Germain dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Mereka bagus dalam mencipta peluang, itu tak membimbangkan saya. Apa yang membimbangkan saya ialah mereka kurang intensiti,” kata Zidane mengenai kekalahan pertama musim ini.

Jentera tengah Real jelas lemas dengan asakkan dua pemain tuan rumah, Idrissa Gueye dan Marco Verratti, sehingga Real bergelut untuk mengumpan bola.

"Kegagalan mencipta peluang dan mengumpan bola ke barisan sayap di depan yang ada Gareth Bale, Karim Benzema dan Eden Hazard jelas mendatangkan satu perasaan pelik,” kata Zidane.

"Kamu boleh beraksi teruk tapi jika kamu bermain dengan intensiti, rajin merebut bola, kamu akan kekal bersaing,” katanya.

PSG sebaliknya memperagakan aksi kemas dan lancar dengan Angel Di Maria memecah kebuntuan menerusi gerakan agresifnya untuk meluru ke dalam kotak penalti untuk menyudahkan hantaran silang Juan Bernat pada minit ke-14.

Gueye sekali lagi mengatur gerakan dari tengah untuk Di Maria menyumbat gol kedua PSG pada minit ke-33.

Penjaga gol Real, Thibaut Courtois pula tidak memperagakan ketangkasannya namun Zidane tidak menyalahkan pemain Belgium itu.

"Ia kesalahan semua pemain. Kita menang bersama, kalahpun bersama,” katanya. – Reuters

Berita Harian X