Rabu, 18 September 2019 | 11:34pm
PEMAIN PDRM, Khairul Izuan Abdullah (kiri) mengasak pemain Melaka United, Patrick Alcala Reichelt pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Khairunisah Lokman
PEMAIN Melaka United, Jang Sukwon (kiri) diasak pemain PDRM, Uche Agba pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Khairunisah Lokman
PEMAIN PDRM, Fakhrul Aiman Sidid (dua dari kiri) cuba melepasi pertahanan Melaka United pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat. - Foto Khairunisah Lokman

Penalti Safiq bawa Melaka ke suku akhir

MELAKA: Penalti Safiq Rahim pada babak kedua membantu Melaka United (MU) mara ke suku akhir Piala Malaysia walaupun sekadar seri 2-2 ketika berdepan PDRM di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

The Cops hampir membuatkan MU berputih mata selepas mendahului 2-1 sebelum jaringan penalti bekas kapten kebangsaan itu menyelamatkan skuad terbabit daripada tersingkir.

Keazaman tinggi skuad Melaka bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan untuk menang ditunjukkan dengan penguasaan bola pada awal babak permainan, malah gol pertama mereka berjaya dihasilkan seawal minit kesembilan menerusi rembatan kencang Luka Milunovic.

Gol terbabit berpunca daripada hantaran jauh Safiq yang membolehkan Milunovic melarikan bola ke dalam kotak penalti sebelum mudah mencetak gol pembukaan menewaskan penjaga gol See Tian Keat.

Selang seminit selepas itu, gawang skuad Hang Tuah bocor menerusi rembatan menarik dari jarak 30 meter bekas penyerang kebangsaan, Fakrul Aiman Sidid.

Tanpa kelibat penyerang utama Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung perlawanan, pengendali The Cops, E Elavarasan meletakkan bekas pemain tengah Melaka, Lee Chang Hoon mengemudi barisan serangan.

Strategi itu nampak berkesan dengan penjaring terbanyaknya Uche Agba bermain di posisi tengah menyerang bagi memperkuat jentera pasukan dan hasilnya, Agba yang tidak dikekang menolak masuk gol kedua selepas menerima hantaran Fakrul pada minit ke-31.

Bersambung babak kedua, Melaka kembali bernafas selepas Safiq menjaringkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-54.

Tindakan pemain PDRM, Khairul Izuan Abdullah menjatuhkan Patrick Reichelt mendorong pengadil perlawanan Suhaimi Mat Hassan menghadiahkan sepakan penalti terbabit.

Apapun, kutipan satu mata itu sudah cukup untuk Hang Tuah mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini walaupun sekadar naib juara Kumpulan D di belakang Selangor.

Berita Harian X