Rabu, 18 September 2019 | 9:43pm
AKSI perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook FAM

Kemboja jadi 'lauk' skuad B-15 negara

 

KUALA LUMPUR: Awas Laos dan Jepun!

Skuad Bawah 15 tahun negara (B-15) menghantar amaran awal kepada pencabar mereka apabila mudah membelasah Kemboja 7-0 pada aksi pertama Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi.

Skuad negara jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi permainan sejak minit pertama sekali gus memperbaiki catatan mereka ke atas 'Angkor Warriors' yang ditewaskan 2-0 pada aksi Kejuaraan B-15 AFF 2019 sebelum ini.

Pada aksi terbabit, hanya tujuh minit diperlukan untuk merobek gawang Kemboja selepas skuad negara dihadiahkan sepakan penalti apabila Akid Mohd Zamri dijatuhkan penjaga gol lawan, Heng Ratanakbandith dan ia mudah disempurnakan Adam Uwais Mohd Armi.


AKSI perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook FAM

AKSI perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook FAM

Malaysia terpaksa menunggu sembilan minit untuk beroleh gol kedua apabila rembatan kencang Adam Farhan Mohd Faizal pada minit ke-16 menerjah gawang Kemboja sebelum Akid memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan dan 'melemaskan' Heng untuk gol ketiga pada minit ke-21.

Kemboja seakan tiada jawapan untuk menghalang kemaraan gol Malaysia dan gol keempat hadir pada minit ke-29 apabila Akid menampan hantaran Danish Irfan Ezal membolehkan Malaysia selesa berkelebihan empat gol.

Bersambung babak kedua, gawang Kemboja terus dirobek apabila Malaysia memperoleh gol kelima pada minit ke-52 menerusi tandukan susulan Harry Danish Haizon selepas tandukan pertama terkena palang.

Malaysia terus mengganas apabila kegagalan Heng menangkap bola dengan kemas membolehkan Nabil Qayyum Zainuddin meledak gol keenam buat skuad negara pada minit ke-64 sebelum Khairil Mohd Zain menjaringkan gol ketujuh pada minit akhir perlawanan.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan misi memburu tiga mata bertemu tuan rumah, Laos, Jumaat ini sebelum menutup pusingan kelayakan menentang gergasi Asia, Jepun pada Ahad.

 


AKSI perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook FAM

Berita Harian X