Rabu, 18 September 2019 | 12:57pm
JURULATIH Napoli, Carlo Ancelotti (kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika aksi menentang Liverpool. - Foto AFP

Seloroh Ancelotti ubati kecewa Klopp

NAPLES: Carlo Ancelotti sempat berseloroh dengan mendakwa anak buah Jurgen Klopp lazimnya akan menjulang trofi Liga Juara-Juara setiap kali tewas di tangan pasukan dari Serie A.

Napoli melakar kemenangan bergaya dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara pagi tadi dengan menewaskan juara bertahan itu 2-0 hasil jaringan Dries Mertens dan Fernando Llorente.

Penalti kontroversi minit ke-82 yang disempurnakan Mertens dan jaringan kedua oleh Llorente untuk gol pertamanya membolehkan skuad bimbingan Ancelotti menang dalam aksi penuh drama Kumpulan E itu.

Liverpool mengalami kekalahan kedua di gelanggang lawan sama apabila tewas 0-1 pada saingan peringkat kumpulan tahun lalu.

Liverpool bagaimanapun akhirnya menjulang trofi kejohanan itu musim lalu dan Ancelotti pagi tadi sekali lagi mengingatkan Klopp bahawa Liverpool mampu mengulanginya.

"Saya beritahu dia supaya jangan bimbang, kerana jika dia tewas di sini, dia mampu bangkit dan seterusnya menjuarai Liga Juara-Juara, saya bagi jaminan itu kepada dia,” kata Ancelotti kepada Sky Sport Italia.

"Perlawanan menentang Liverpool sentiasa sukar, dari minit pertama hingga tamat. Kami terpaksa korbankan tenaga tanpa menggadai identiti kami,” katanya.

"Kami sukar bertahan di belakang dan beberapa kali berdepan bola bahaya, mereka mengasak hebat ke kubu kami.

"Perlawanan seimbang tapi saya hargai cara benteng kami bertahan sehingga kedudukan 0-0 yang kemudian membolehkan kami mencipta peluang saat akhir.

"Saya hanya mahu melihat sebuah pasukan yang ada keyakinan diri dan kualiti. Saya benar-benar puas hati dengan persembahan anak buah saya ketika keadaan tidak terkawal.

“Llorente membantu ketika pemain sudah keletihan mengejar hantaran jauh yang bukan corak permainan kami yang sebenar, tapi ia bukanlah sesuatu yang teruk diamalkan jika keadaan memaksa.

“Pasukan ini perlu tahu apa tindakan yang perlu dilakukan dalam berdepan keadaan seperti itu,” katanya.

Klopp dalam masa sama juga memuji skuad Ancelotti sambil meramalkan Napoli mampu muncul juara musim ini.

"Jika kamu memiliki perancangan yang bagus dan pemain yang bagus, yang sememangnya kamu sudah miliki, maka kamu akan menang kejohanan ini.

“Kami ada pengalaman ini musim lalu dan kamu tak semestinya memerlukan pasukan terbaik di dunia untuk memenangi Liga Juara-Juatra.

"Kamu perlu berada dalam detik yang tepat, dalam situasi tertentu perlukan juga nasib dan ketika hanya tinggal dua orang saja dalam bilik persalinan yang percaya itu adalah penalti, maka kamu perlu terima ia adalah penalti, itu saja. Mereka sudah tentu boleh memenangi kejohanan ini,” kata Klopp. – Agensi

Berita Harian X