Rabu, 18 September 2019 | 11:14am
Reaksi jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone pada sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Juventus pada perlawanan Kumpulan D Liga Juara-Juara awal pagi esok. - Foto EPA

Ronaldo tak mampu disekat - Simeone

MADRID: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menggambarkan penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo ‘haiwan’ penyumbat gol menjelang perlawanan Kumpulan D di Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Ronaldo menjaringkan 25 gol ketika menentang Atletico dalam 33 perlawanan dan memainkan peranan utama menyingkirkan pasukan Simeone daripada saingan musim lalu, termasuk menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0 dalam pusingan 16 terakhir bagi membaiki defisiti 2-0 di perlawanan pertama.

“Cristiano adalah ‘haiwan’ di depan gawang, dia menimbulkan bahaya pada bila-bila masa apabila berada di kawasan gawang,” kata Simeone.

Ronaldo sudah membuktikan kehebatannya ketika menentang Atletico di Liga Juara-Juara, dua kali membantu menewaskan mereka pada final 2014 dan 2016 bersama Real.

“Dia sangat sukar untuk dikawal kerana dia ada segala-galanya. Dia cemerlang di udara, dia juga bagus dengan kedua-dua kakinya, dia boleh meloloskan diri dengan mudah dan dia mampu melakukan sepakan berbahaya,” kata jurulatih Argentina itu.

“Kami merana bila berdepan dengan dia sebelum ini dan tewas sekali lagi tetapi kami perlu berani menentang dia.”

Pemain pertahanan Atletico, Jose Gimenez berkata kunci untuk menghalang Ronaldo adalah menyekat rakan pasukannya yang lain.

“Dia adalah penyerang yang hebat tetapi perlu menghantar bola menerusi pemain lain,” katanya. – Reuters 

 

Berita Harian X