Selasa, 17 September 2019 | 11:15pm
PEMAIN import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega jaringankan bola pada perlawanan Piala Malaysia diantara Kedah menentang Negeri Sembilan, di Stadium Darul Aman. NSTP/Sharul Hafiz Zam.

Lang Merah tepati ramalan

 

ALOR SETAR: Hasrat Kedah untuk kekal di kedudukan teratas Kumpulan A saingan Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan ini juga mengesahkan Kedah selaku juara Kumpulan A dan bakal berdepan naib juara Kumpulan B di peringkat suku akhir.

Kedah membuka jaringan pada minit ke-17 hasil percubaan pemain sayap, Farhan Roslan yang berjaya menewaskan Kaharuddin Abdul Rahman selepas menerima hantaran Edgar Bernardt. 

Asakan Negeri Sembilan yang memburu gol membuahkan hasil pada minit ke-34 apabila serangan pantas dari kiri gawang Kedah oleh Jose Almir disempurnakan Igor Carneiro. 

Pada minit ke-44 Kedah kembali di depan menerusi penyerang Fernando Rodriguez yang tidak mensia-siakan peluang meletakkan bola dalam gawang lawan hasil hantaran Jonathan Bauman. 

Kembali beraksi di babak kedua, Negeri Sembilan berjaya menambah gol pada minit ke-65 hasil sepakan deras Feris Danial.

Pemain gantian Kedah, Fayadh Zulkifli merembat masuk gol ketiga untuk Kedah pada minit ke-77 selepas dua percubaan pertama oleh Bauman terkena benteng Negeri Sembilan. 

Bernardt melengkapkan malam kemenangan Kedah dengan keputusan 4-2 apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas dia dijatuhkan penjaga gawang Negeri Sembilan.

Berita Harian X