Selasa, 17 September 2019 | 11:07pm
PEMAIN PKNS FC, Mahali Jasuli diasak pemain Terengganu FC, Abdul Shukur Jusoh dan Muhammad Mohd Faudzi pada perlawanan Piala Malaysia 2019, di Stadium Shah Alam. NSTP/Roslin Mat Tahir.

TFC atasi PKNS FC

 

SHAH ALAM: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) menempah pertemuan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir musim ini.

Ini selepas skuad Penyu itu menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua dengan 12 mata sekalipun meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan yang sudah tersingkir, PKNS FC pada aksi di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Juara kumpulan menjadi milik Kedah yang terpaksa 'berpeluh' menentang Negeri Sembilan sebelum meraih kemenangan 4-2 pada aksi di Stadium Darul Aman yang menyaksikan mereka berkelebihan satu mata mengatasi TFC.

Pada aksi terbabit, anak buah Nafuzi Zain bermula garang apabila mendahului seawal minit keempat menerusi rembatan kencang Sanjar Shaakhmedov dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Ashari Shamsudin.

Belum sempat PKNS FC mencatur gerak untuk mendapatkan rentak, TFC sekali lagi mengejutkan PKNS FC hasil serangan balas pantas selepas lorongan Lee Tuck menemui Tchetche Kipre yang tidak berdepan masalah menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin pada minit kesembilan.

Percubaan terbaik PKNS FC hadir pada minit ke-17 menerusi sepakan jarak jauh Nick Swirad namun kurang tepat apabila tersasar di bahagian pintu kiri gol TFC.

PKNS FC menghantar amaran sebaik babak kedua bersambung apabila nyaris meledak gol menerusi percubaan Mahali Jasuli namun tidak mencukupi untuk mengancam gawang Wan Mohd Azraie Wan Teh.

Kelebihan dua gol yang dimiliki TFC tidak menyekat hasrat mereka untuk memburu gol ketiga namun Zarif menafikan percubaan Sanjar daripada mendapatkan gol kedua peribadinya pada minit ke-62.

Memasuki 15 minit terakhir, TFC terus mengasak pertahanan PKNS FC menerusi beberapa percubaan namun gagal mengubah keputusan sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

 

 

Berita Harian X