Ahad, 15 September 2019 | 4:04pm
Rakan sepasukan meraikan gol jaringan Teemu Pukki (dua dari kanan) ketika menentang Man City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, malam tadi. - Foto Reuters

Farke kagum kebijaksanaan Pukki

LONDON: Pengendali Norwich, Daniel Farke melabel penyerangnya Teemu Pukki sebagai bijak berikutan sumbangannya ketika pendatang baharu Liga Perdana itu menundukkan Manchester City, awal pagi tadi.

Bertemu City kendalian Pep Guardiola yang juga penyandang juara liga, tidak banyak harapan diletakkan terhadap Norwich yang turut berdepan masalah kecederaan sebelum mencatat kemenangan 3-2 di Carrow Road.

“Teemu seorang yang bijak, bukan saja kerana jaringannya tetapi atas kerja kerasnya juga,” kata Farke. “Teemu sentiasa berfikir mengenai pasukan terlebih dulu dan kerana itu dia layak menerima segala pujian.”


Pengendali Norwich City, Daniel Farke. - Foto AFP

Sementara itu, Todd Cantwell yang menyumbat gol kedua Norwich pada perlawanan itu turut memuji persembahan Pukki.

“Hubungan saya dan Teemu setakat ini cukup baik,” kata Cantwell. “Kami meneruskan apa yang kami peroleh tahun lalu dan kami sentiasa menyediakan umpanan untuk satu sama lain. Saya tahu dia berupaya melakukannya kerana dia lebih daripada sekadar penjaring gol.”

Selepas empat perlawanan, Pukki yang juga penjaring terbanyak Liga Kejuaraan musim lalu sudah menyumbat lima gol yang meletakkan di tangga kedua senarai penjaring di belakang Sergio Aguero.


Aksi pemain tengah Norwich City, Todd Cantwell (kiri) meledak gol kedua. - Foto AFP

“Ia permulaan yang menakjubkan,” kata Pukki. “Saya percaya yang saya boleh menjaringkan di tahap ini. Tetapi untuk menjaringkan gol menentang semua pasukan utama... Saya tidak percaya yang saya boleh melakukannya.” - Reuters

Berita Harian X