Ahad, 15 September 2019 | 7:31am
Pemain Norwich, Todd Cantwell (kiri) mengawal bola dari pemain Manchester city, Sergio Aguero (tengah) paad perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto EPA

Norwich buat City gigit jari

LONDON: Manchester City dipalit kekalahan pertama Liga Perdana sejak Januari apabila tumbang mengejut kepada kelab yang baru dinaikkan pangkat Norwich 2-3, awal pagi tadi.

Kekalahan menyaksikan Liverpool meningkatkan jurang di puncak liga kepada lima mata selepas skuad kendalian Jurgen Klopp menang 3-1 ke atas Newcastle.

Tottenham dan Chelsea turut bangkit daripada prestasi tidak menentu apabila melakar kemenangan bergaya terhadap Crystal Palace dan Wolves manakala Manchester United mengharapkan penalti sebelum membenam Leicester 1-0.

Berkunjung ke Carrow Road, semuanya bagai tidak menjadi buat skuad kendalian Pep Guardiola susulan ketiadaan pertahanannya, Aymeric Laporte yang berdepan kecederaan.

“Sudah tentu ia hari yang istimewa buat kami dan juga kelab,” kata jurulatih Norwich, Daniel Farke.

“Kami memerlukan sesuatu yang istimewa dalam perancangan kami untuk City kerana mereka adalah pasukan terbaik dunia dan kami turut berdepan dengan masalah kecederaan, tetapi kami layak menang pada hari ini. Kami menakjubkan.”

Kenny McLean menunjukkan betapa penyandang juara itu bergelut dengan situasi bola mati apabila meledak gol pembukaan menerusi tandukan sebelum Teemu Pukki membuat umpanan untuk Todd Cantwell bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28.


Pemain Manchester City, Rodri (atas) menanduk bola mengatasi pemain Norwich, Marco Stiepermann pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

City mengembalikan ketenangan apabila merapatkan jurang sebelum rehat apabila Sergio Aguero menanduk masuk hantaran Bernardo Silva.

Begitupun, ketiadaan Laporte yang dijangka tersisih sehingga Januari susulan kecederaan lutut yang serius menyaksikan Guardiola memberikan kepercayaan terhadap John Stones dan Nicolas Otamendi dan ia dimanfaatkan Norwich yang meledak gol ketiga pada awal babak kedua menerusi Pukki.

City kembali merapatkan jurang, tetapi jaringan pertama Rodri untuk kelab itu dua minit sebelum permainan berakhir sudah terlewat.

“Saya tahu siapa kami sebagai satu pasukan, apa yang kami sudah lakukan, apa yang akan kami lakukan lagi dan saya menyukai pemain-pemain saya. Satu kegembiraan dan kebanggaan untuk berada bersama mereka.

“Ia adalah cabaran di tahap tertinggi. Orang tidak boleh menjangkakan kami sentiasa menang setiap masa.” - AFP

Berita Harian X