Khamis, 12 September 2019 | 8:51pm
PEMAIN PJ City, Safee Sali (tengah) diasak ketika menjalani latihan di Padang Kompleks Kemudahan Kemasyarakatan. NSTP/Aswadi Alias.

Safee teruja lihat ngauman Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui menjadi antara insan paling gembira melihat kemampuan Harimau Malaya yang hampir melebur ego Emiriah Arab  Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu.

Malah, Safee Sali yang pernah 76 kali beraksi bersama Harimau Malaya dari 2006 hingga 2016 menyifatkan barisan pemain muda kendalian Tan Cheng Hoe mempunyai masa depan yang cerah serta mampu menjulang pasukan negara di pentas tertinggi.

"Memang teruja melihat persembahan mereka ketika memaksa UAE mandi peluh dan kita pasti merasa bangga untuk memiliki pasukan kebangsaan yang kuat seperti ini. Kita tidak takut dan berani pegang bola walau siapa pun lawan kita.

"Ini mungkin nafas baharu bola sepak kita, seiring trend bola sepak sekarang. Jadi, itu yang semua orang mahu lihat.

"Kalau pasukan ini dijaga dengan baik, saya rasa masa depan kita cerah," katanya ketika ditemui pada sesi latihan PJ City FC, hari ini.

Safee yang digelar SuperSafee bagaimanapun mengakui rindu untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan bersedia berbuat demikian sekiranya khidmatnya diperlukan pada masa akan datang.

Menurutnya, walaupun sudah berusia 35 tahun, istilah 'selamat tinggal' kepada skuad kebangsaan nyata belum ada dalam kamus hidupnya.

"Saya tidak pernah katakan yang saya bersara di pentas antarabangsa. Saya masih ada harapan untuk bermain bersama skuad kebangsaan.

"Memang saya rindu untuk sarung jersi kebangsaan. Tidak kiralah umur saya 40 tahun sekali pun, saya belum ucapkan selamat tinggal dan saya tidak akan mengalah, tidak berputus asa dan sedia bermain," katanya yang masih memegang rekod gol terpantas skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol pembukaan ketika tewas 3-5 di tangan Singapura pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar.

Pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lalu, Harimau Malaya hampir mengejutkan anak buah Bert Van Marwijk sebelum tunduk 1-2.

Berita Harian X