Khamis, 12 September 2019 | 8:17am
VINCENT Kompany

City bina arca iktiraf jasa Kompany

MANCHESTER: Manchester City akan mendirikan sebuah arca Vincent Kompany di luar Stadium Etihad, selain menamakan sebatang jalan di pusat latihan sempena namanya, umum juara Liga Perdana Ingeris (EPL), itu pagi ini.

Kompany meninggalkan kelab itu musim lalu selepas membantu City meraih gelaran treble liga tempatan dan kini mengendali bekas kelabnya, Anderlecht di Belgium sebagai pengurus.

Bekas kapten City itu kembali ke Manchester minggu ini untuk menyertai satu perlawanan testimonial tetapi dia tidak dapat beraksi akibat kecederaan hamstring.

Dalam aksi itu, Legenda Manchester City terikat seri 2-2 menentang Premier League All Stars XI di Stadium Etihad yang penuh sesak dengan penyokongnya, pagi tadi.

City mengesahkan perkembangan itu sebagai tanda mengiktiraf sumbangan besar pemain Belgium itu dan setuju menamakan sebatang jalan dekat pusat latihannya dengan nama Vincent Kompany Crescent.

"Ia satu anugerah yang sukar diercayai diberikan kelab ini kepada saya,” kata Kompany kepada laman web kelab berkenaan.

"Perjalanan yang kami sudah harungi bersama sejak 11 tahun saya bersama di Manchester menukar kehidupan saya dan saya bangga dengan sumbangan kecil ini dalam mengubah sejarah kelab sepanjang tempoh itu.

"Ia bagaikan satu hubungan fizikal yang erat dan Manchester memberi makna yang banyak kepada saya dan saya akan kenang dan hargai jasa Sheikh Mansour (pemilik), Khaldoon Al Mubarak (pengerusi kelab) dan semua pihak yang ada sangkut paut dengan City atas segala bantuan dan kemesraan yang ditunjukkan tanpa berbelah bagi.”

Arca Kompany, yang menjulang empat trofi EPL dan empat Piala EFL bersama City serta dua Piala FA sepanjang 11 tahun bersama di Manchester, akan dibina dalam bentuk susunan marmar kecil (mosaic).

Imej itu akan dilengkapi dengan nama jalan Vincent Kompany Crescent, menggunakan gambarnya ketia dia meraikan gol tunggalnya selepas membantu kejayaan City menang 1-0 ke atas Manchester United dalam saingan liga musim 2012 yang menyaksikan City muncul juara EPL pertamanya.

"Vincent adalah satu figura istimewa dalam sejarah Kelab Manchester City," kata Al Mubarak.

"Dia bukan saja membawa inspirasi dan pemimipin passukan di padang bahkan ia adalah duta buat kelab ini.

"Sumbangannya akan terus diingati untuk selamanya oleh penyokong kelab ini dan komuniti bola sepak keseluruhannya yang pasti akan mengiktirafnya sebagai satu daripada ikon Liga Perdana dalam generasinya.”– Agensi

779 dibaca
Berita Harian X