Rabu, 11 September 2019 | 9:19pm
JURULATIH, Zairuddin Jilan, 46 (tengah) sedang melihat Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama, 11 (kiri) dan Muhammad Raiyan Izzan Nor Qhaireel Izzuan,11 ketika sesi latihan di Padang Kemunting. NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Zamil, Raiyan tekad julang nama Malaysia

 

KUANTAN: Dua pemain remaja Pahang, Ahmad Zamil Zaqwan dan Muhammad Raiyan Izzan Nurqhaireel Izzuan berazam membantu skuad negara mencatat keputusan membanggakan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Global Yakult 2019.

Terpilih mewakili Malaysia di kejohanan yang berlangsung di J-Green Sakai, Osaka, Jepun selama tiga hari bermula Sabtu ini, ia adalah pencapaian yang sangat bermakna dan ia juga adalah persediaan untuk menjadi pemain berkaliber pada masa depan.

Bagi Ahmad Zamil Zaqwan, 12, kejohanan itu adalah pentas terbaik menimba pengalaman bagi membantunya mencapai impian bergelar pemain bola sepak profesional satu hari nanti.

"Jepun adalah antara nama besar dalam bola sepak dan ia adalah peluang terbaik untuk mempamerkan kebolehan yang saya miliki.

"Mungkin suatu hari nanti saya berpeluang untuk bermain dalam Liga J (Liga Bola Sepak Jepun)," kata pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Teruntum, di sini.

Ahmad Zamil yang bermain di posisi serangan pernah membantu skuad kebangsaan mendapat tempat ketiga di Piala Soong Ching Ling di China.

Muhammad Raiyan yang beraksi sebagai penjaga gol pula teruja kerana kali pertama dipilih untuk beraksi dalam kejohanan di luar negara.

Katanya, peluang itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu skuad negara.

"Sudah pasti penyertaan beberapa negara di kejohanan ini akan meningkatkan tekanan dan memberikan motivasi kepada kami apabila berdepan cabaran getir, terutamanya dari pemain luar negara," kata pelajar Sekolah Pengkalan Tentera, di sini.

Sementara itu, jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Kuantan, Zairuddin Jilan yang turut mengendalikan skuad negara mengharapkan pencapaian cemerlang mampu dijelmakan.

Katanya, kejohanan itu adalah peluang terbaik untuk semua pemain untuk mempamerkan prestasi terbaik.

  

1071 dibaca
Berita Harian X