Selasa, 10 September 2019 | 3:21pm
Latihan Skuad Harimau Malaya di Stadium Kuala Lumpur sempena perlawanan Pusingan Ke 2 Kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

'Harimau Malaya jangan gerun UAE'

KOLUM BILA PENYOKONG BERSUARA

Sejarah hitam ketika ditewaskan 10 gol berbalas 0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September 2015 harus kita lupakan dan padamkan dari memori kita.

Caranya adalah dengan keputusan yang lebih positif, seri atau menang pada pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Kekalahan 2015 itu amat pahit untuk ditelan kerana kita akur dengan barisan dan persediaan yang kita ada ketika itu. Dollah Salleh telah ditunjukkan jalan keluar. Kita yakin persediaan pasukan dahulu adalah jauh berbeza dengan pasukan yang ada kali ini.

Detik jam 8.45 malam ini bakal mempertemukan kembali pasukan Harimau Malaya dengan pasukan UAE yang berada di ranking 65 dunia berbanding Harimau Malaya di ranking 159. Mengikut rekod 5 pertemuan sebelum ini, pasukan Harimau Malaya belum pernah menang ke atas pasukan UAE dalam sebarang kejohanan.

Dengan berbekalkan kebangkitan sebenar menerkam Sang Garuda di stadium keramat mereka Gelora Bung Karno Khamis lepas, tidak mustahil Harimau Malaya dapat meneruskan rentak kemenangan mereka.  Semangat juang serta keyakinan yang tinggi harus ada dalam jiwa setiap pemain yang akan berjuang di padang. Momentum permainan yang dipersembahkan di GBK harus dibawa ke SNBJ dan diperkemaskan lagi.

Aura kemenangan 2-0  pasukan bawah 23 ke atas UAE pada tahun lepas juga perlu digunakan sebagai perangsang untuk tidak terlalu memandang tinggi atau hormat pada pihak lawan. Ayuh Harimau Malaya. Ranking itu adalah sekadar angka sahaja.

Kita juga percaya Tan Cheng Hoe mempunyai strategi yang terbaik untuk memastikan keputusan positif sebagaimana yang mereka tunjukkan di Gelora Bung Karno. Cheng Hoe dapat membaca perlawanan dan membuat pertukaran pemain pasa waktu yang tepat. Kebijaksanaan Cheng Hoe dan pasukan teknikalnya adalah ditagih bagi memastikan UAE gerun dan mati akal.

Dengan barisan pemain-pemain yang berkualiti serta mempunyai kesefahaman yang baik, serta sorakan padu pemain ke 12, percayalah tidak mustahil kita akan memberikan kejutan.

Kisah silam 10-0 itu harus dijadikan sebagai ‘dendam’ yang perlu dibalas oleh anak buah Tan Cheng Hoe untuk bangkit dari tidur demi menebus kembali maruah Dolah Salleh yang tercalar. 

Ayuh Harimau Malaya berjuanglah demi tanah air tercinta. Ayuh Ekor Harimau Malaya, datanglah beramai-ramai memberi sokongan padu pada pasukan kita yang sedang berjuang. Mereka perlukan sokongan padu kita, Ini stadium kita, Gelanggang keramat kita.

Hanya kemenangan dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air kita serta lebih manis lagi sebagai hadiah istimewa sempena Hari Malaysia yang akan menjelang pada 16 September ini.

Kembalikan semula pasukan Harimau Malaya sebagai kuasa bola sepak Asia suatu ketika dahulu. Yakinlah Harimau Malaya. Ekor Harimau Sentiasa Bersamamu. – Mohamad Azam Hadi (Penyokong tegar Harimau Malaya) 

Berita Harian X