Selasa, 10 September 2019 | 1:57pm
Ketua Jurulatih UAE, Bert Van Marwijk (kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika menjalani sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

UAE bimbang cengkaman Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak tidak meletakkan harapan tinggi untuk Malaysia mencipta kemenangan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), lain pula pendapat jurulatih skuad itu, Bert Van Marwijk.

Marwijk yang pernah membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010 membayangkan pemainnya tidak akan berdepan tugas mudah daripada Harimau Malaya pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, malam ini.

Malah, dia turut mengakui kemenangan besar 10-0 yang diraih UAE ke atas Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2029, empat tahun lalu sukar untuk diulangi.

"Apa saja yang berlaku sebelum ini (kemenangan 10-0) tidak akan terjadi lagi. Ketika berdepan Indonesia, mereka (Harimau Malaya) beraksi dengan penuh bertenaga dan menunjukkan tempo permainan yang tinggi.

"Mereka juga memiliki pemain yang pantas, jadi kami perlu memberikan tumpuan sepenuhnya. Semua pemain kena berdisiplin dan ia bukan mudah (untuk berdepan Malaysia)," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Marwijk pernah berdepan Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang mana ketika itu dia mengendalikan skuad Arab Saudi.

Pengendali berusia 67 tahun itu turut mendedahkan pasukannya menggunakan tempoh dua minggu untuk melakukan persiapan berdepan Harimau Malaya.

"Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, anda tidak mempunyai banyak masa bersama pasukan dan ia tidak sama seperti di kelab. Tapi saya fikir tempoh (dua minggu) itu cukup untuk kami lakukan persiapan.

"Kami mempunyai ramai pemain muda dalam skuad dan mereka bekerja keras sepanjang latihan. Sebagai jurulatih, saya yakin dengan kemampuan mereka," katanya.

Berita Harian X