Selasa, 10 September 2019 | 1:33pm
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe menjawab soalan media pada sidang media pasukan Malaysia bertemu pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tiga pesanan Cheng Hoe jadi pedoman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengingatkan pemainnya supaya tidak melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, malam ini.

Menyedari UAE bukan calang-calang pasukan, Cheng Hoe menjelaskan hanya sedikit kesilapan boleh menyebabkan Harimau Malaya dihukum dan berdepan kekecewaan.

Justeru, bekas pengendali Kedah itu berharap barisan pemain Harimau Malaya lebih berhati-hati selain mempunyai keyakinan yang tinggi terutama ketika melakukan hantaran.

"Pemain tidak boleh gementar atau tertekan, kerana kita tahu harapan terlalu tinggi (diberikan kepada Harimau Malaya) ketika ini," kata Cheng Hoe pada sidang media di sini, semalam.

"Paling penting kita kena kurangkan kesilapan kerana dalam bola sepak, kesilapan kecil boleh jadi besar dan mungkin menyebabkan (pintu gol) kita dibolosi.

"Tapi, sebagai jurulatih saya sentiasa yakin dengan kemampuan pemain. Untuk bergerak ke tahap lebih tinggi, kami perlu berdepan cabaran dan ini (berdepan UAE) adalah cabaran besar buat kami."

Harimau Malaya mengungguli saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas mengumpul tiga mata susulan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta, Khamis lalu.

Selain itu, Cheng Hoe turut mengakui pasukannya perlu lebih berwaspada kerana UAE pasti sudah merancang strategi terbaik untuk memerangkap Harimau Malaya.

"Saya yakin mereka (UAE) menyaksikan perlawanan kami dengan Indonesia sebelum ini dan mereka pasti sudah merancang strategi tertentu," katanya.

 

 

Berita Harian X