Selasa, 10 September 2019 | 1:16pm
Brendan Gan (kanan) bersama Tan Cheng Hoe pada sidang media Bukit Jalil, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Brendan Gan tak gentar reputasi UAE

KUALA LUMPUR: Perancang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan mengakui tidak gentar berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk ayam tambatan mereka, Omar Abdulrahman pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, malam ini.

Mengakui perancang tengah UAE itu sebagai pemain yang berbahaya, Brendan bagaimanapun percaya Harimau Malaya juga memiliki pemain berkualiti untuk mengekang asakan UAE.

"Sudah pasti dia (Omar) pemain yang hebat berdasarkan apa yang dia sudah tunjukkan. Kami menghormatinya, tapi pada masa yang sama, ini adalah bola sepak, kami beraksi untuk menang, bukan untuk kalah atau seri.

"Jurulatih (Tan Cheng Hoe) juga ada maklumkan mengenai beberapa pemain penting mereka (UAE). Apa pun ia terpulang kepada bagaimana kami beraksi dan apa yang kami boleh persembahkan.

"Jika kami mengikut segala taktikal dan mengawal disiplin serta berusaha keras, saya fikir kami boleh memberi tentangan sengit buat UAE," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Brendan dijangka memikul tugas khas untuk menyekat pergerakan Omar yang terkenal dengan hantaran yang mampu memecahkan benteng lawan.

Selain itu, Brendan mengakui Harimau Malaya perlu mempamerkan aksi lebih baik berbanding ketika menundukkan Indonesia 3-2, Khamis lalu jika mahu mencipta sesuatu ke atas UAE.

"Kami tidak bermula dengan baik pada pertemuan dengan Indonesia, mungkin atas faktor lain termasuk atmosfera di stadium atau sebagainya.

"Jadi kami perlu bermula dengan baik berdepan UAE. Bagi perlawanan ini (menentang UAE), kami ada tugas lain yang perlu dilakukan dan ia sangat penting," katanya.

Berita Harian X