Ahad, 8 September 2019 | 11:42pm
MOHD Zulrani Helmi Mohd Zakri menerima kunjungan pemain skuad kebangsaan. - Foto ihsan Facebook FAM

Dua 'ekor' Harimau Malaya dapat kejutan

KUALA LUMPUR: Penyokong Harimau Malaya, Mohd Zulrani Helmi Mohd Zakri, 39, yang patah tangan kiri ketika menyaksikan perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia di Gelora Bung Karno, Khamis lalu menerima kunjungan pemain skuad kebangsaan, hari ini.

Kapten Harimau Malaya, Farizal Marlias, Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad bersama Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menziarahi Mohd Zulrani di kediamannya bagi melihat sendiri keadaan terkini dan mendengar kisah yang berlaku di tempat duduk penonton pada perlawanan itu.


OMAR Saiful Razman bergambar bersama Mohamadou Sumareh, Farizal Marlias, Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad.

FAM turut memberikan sedikit sumbangan dan juga tiket perlawanan Malaysia berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Selasa ini kepada Mohd Zulrani.

"Ia sebagai menghargai kesungguhan dan semangat dia yang sanggup bersama penyokong lain terbang ke Jakarta bagi memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya," kata FAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, tiga pemain terbabit bersama Mohamadou Sumareh turut membuat kejutan kepada Omar Saiful Razman, 8, susulan video penyokong cilik Harimau Malaya itu yang bersorak dan menangis gembira selepas Sumareh menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Indonesia tular di media sosial.

Selain menerima tiket menyaksikan perlawanan menentang UAE daripada FAM, Omar turut mendapat sehelai jersi Harimau Malaya pemberian khas daripada Sumareh yang turut ditandatangani oleh pemain itu.

Berita Harian X