Ahad, 8 September 2019 | 12:20pm
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe (dua dari kiri) memerhatikan sebahagian skuad kesebelasan utama Malaysia ketika menjalani sesi latihan sebelum Malaysia akan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Cheng Hoe ubah taktikal jumpa UAE

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe membayangkan akan melakukan perubahan taktikal untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Tanpa mendedahkan pendekatan yang bakal dilakukan, terdapat kemungkinan Harimau Malaya bakal tampil dengan corak permainan lebih bertahan dan mengharapkan gerakan serangan balas untuk mencipta jaringan.

Malah, Cheng Hoe turut mengakui barisan pemain Harimau Malaya perlu memberi fokus lebih 100 peratus terhadap bahagian serangan UAE yang diketuai Ali Mabkhout.

"Untuk bergerak ke kedudukan lebih baik, kami kena menyerang baru kita dapat kemenangan, tapi pada masa sama kami kena waspada bahagian serangan UAE,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

"Kami mencipta banyak peluang pada masa kedua ketika berdepan Indonesia, tapi tak dapat jaringkan banyak gol selain gol penting Mohamadou Sumareh untuk kami bawa pulang tiga mata.

"Kami mungkin tak dapat banyak peluang berdepan UAE, jadi kami perlu jaringkan gol apabila mendapat peluang. Pertahanan juga perlu lebih fokus kerana dalam setiap perlawanan kami melepaskan gol.

"Saya pasti pemain tahu kelemahan pasukan dan pada masa sama perlu tingkatkan kekuatan yang kami ada."

Aksi berdepan UAE dilihat menjadi cabaran paling sukar buat anak buah Cheng Hoe dalam saingan Kumpulan G terutama Harimau Malaya sudah lama tidak mencipta kemenangan ke atas lawannya itu.

Malah, terdapat beberapa pihak yang cuba mengimbas kembali detik hitam yang dilalui Harimau Malaya apabila tewas 10-0 kepada UAE pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, empat tahun lalu.

Namun, Cheng Hoe menjelaskan peristiwa memalukan itu memberi pengajaran berguna buat skuad kebangsaan sambil mengingatkan barisan pemainnya untuk tidak memikirkan mengenai rekod kekalahan terbesar yang dialami Harimau Malaya itu.

"Kalau ikut rekod tahun 2015 (tewas 10-0), ia sesuatu yang agak menyedihkan buat pasukan bola sepak negara, tapi kita kena pandang ke depan. Selepas empat tahun, pemain dan jurulatih juga sudah berbeza.

"Sebagai jurulatih, saya bangga kami dapat tiga mata dari gelanggang lawan (berdepan Indonesia) yang mana cukup penting untuk kami mengarungi aksi seterusnya," katanya.

Berita Harian X