Ahad, 8 September 2019 | 12:14pm
Pemain skuad bola sepak Malaysia, Akhyar Rashid (dua dari kanan) ketika menjalani sesi latihan sebelum Malaysia akan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

UAE bukan lawan mudah, tetapi tidak mustahil

KOLUM APABILA PENYOKONG BERSUARA

Rintangan dan halangan pertama sudah kita lalui dengan bergaya. Menang dengan jaringan 3-2 di gelanggang lawan selepas hampir 14 tahun kita gagal melakukannya di gelanggang Indonesia. 

Kemenangan pasukan Harimau Malaya di Gelora Bung Karno bukanlah sesuatu perkara yang boleh kita anggap remeh. Gelanggang keramat pasukan Garuda, salah satu stadium yang paling mengerikan buat mana-mana pemain bola sepak dan penyokong, lebih-lebih lagi buat pasukan Malaysia serta penyokongnya.

Tiga mata penting yang amat berharga. Penting sebagai pemangkin semangat untuk mengharungi perlawanan lain. 

Halangan seterusnya adalah antara halangan sukar buat Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 /Piala Asia 2023. Emiriah Araba Bersatu (UAE) adalah pasukan dari Asia Barat. Sebut sahaja UAE, sepantas kilat tragedi hitam yang berlaku pada tahun 2015 semasa kempen kelayakan Piala Dunia 2018 menerpa dalam ingatan.

Luka itu sememangnya dalam. Salah satu detik hitam yang pernah ada dalam sejarah bola sepak Malaysia. Dibelasah 10 gol tanpa balas oleh UAE adalah kekalahan paling teruk pasukan Harimau Malaya pernah alami.

Ibarat deja vu, kini selepas 4 tahun Harimau Malaya sekali lagi bertemu dengan pasukan UAE. Kita berpeluang untuk menyembuhkan kembali luka dalam terbabit. Kalau dahulu, kita mudah diatasi melalui fizikal dan teknikal pemain UAE. 

Harimau Malaya kini dibarisi pemain yang sudah bersedia daripada segi fizikal dan teknikal. Kehadiran pemain seperti La'Vere Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh, Brendan Gan dan Matthew Davies dilihat dapat memberikan saingan daripada aspek fizikal kepada pihak lawan.

Dahulu, kita sering kali ditewaskan dengan mudah di udara. Namun dengan pemain yang disebut itu kita mampu memberikan saingan kepada pemain UAE. Pemain seperti Shahrul Saad, Adam Nor Azlin juga dilihat mempunyai fizikal yang baik dan dijangka boleh memberikan aksi terbaik yang ditagih skuad negara.

Namun, UAE bukanlah pasukan yang mudah untuk diatasi. Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan membuktikan segalanya. Malaysia dan UAE sudah bertemu sebanyak 11 kali. UAE menang sebanyak sembilan kali manakala Malaysia pula hanya satu kali. 

Hanya sekali sahaja pertemuan antara kedua-duanya berakhir seri. Umum mengetahui, UAE dilihat pasukan yang lebih ampuh. Pemain bintang mereka iaitu Abdul Rahman Omar adalah pemain yang merobek maruah pasukan negara pada pertemuan tahun 2015 dengan hantaran-hantaran membunuh. 

Lenggok dan gayanya sering kali berjaya menipu pihak lawan. Skuad UAE pada kali ini diperkuatkan lagi dengan bintang muda mereka iaitu Ali Saleh (19) dan juga Majeed Suroor (21). 

Pemain seperti ini jika tidak diberikan perhatian secukupnya boleh menyebabkan Harimau Malaya berputih mata. Walaupun pengendali pasukan UAE melaungkan keyakinan dapat mengatasi Harimau Malaya, penulis yakin pasukan negara mampu memberikan kejutan kepada UAE.

Pasukan negara kini bukan lagi pasukan yang dahulu. Corak permainan hantaran pendek serta lebih gemar menyimpan bola dilihat dapat memberikan masalah kepada pasukan UAE.

Kehadiran pemain seperti Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang gemar menjaringkan gol apabila bertemu pasukan besar Asia juga dilihat dapat memberikan kelebihan kepada pasukan negara.

Namun, pemain negara perlu membuang perasaan terlalu menghormati lawan dan tidak yakin dengan kemampuan sendiri. Jika pemain Harimau Malaya, dapat mengatasi faktor-faktor yang disebutkan di atas, sudah pasti kejayaan pasti dicapai.

Cukup-cukuplah tidur Sang Harimau. Garuda sudah berjaya dijinakkan tersungkur layu dalam sarangnya sendiri. Kini tiba masanya Harimau kembali menunjukkan taring di Bukit Jalil dan menggegar Asia.

Segalanya tidak mustahil.

 

*Penulis Mohammad Safwan Norazami adalah penyokong tegar Harimau Malaya.

 

Berita Harian X