Jumaat, 6 September 2019 | 10:58pm
PEMAIN JDT II, Kumaahran Sathasivan (kiri) diasak pemain Kelantan, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni (kanan) ketika perlawanan Piala Cabaran 2019, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT II mara separuh akhir Piala Cabaran

PASIR GUDANG: Pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menepati ramalan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad berkenaan yang menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua musim ini berjaya mengumpul sembilan mata tanpa kalah selepas mengharungi tiga perlawanan dan aksi terakhir menentang Sarawak, Khamis ini menjadi penentu bagi memastikan rekod bersih.

Pada aksi malam tadi, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama perlawanan seawal minit ketujuh selepas bola umpanan Ramadhan Saifullah Usman membuka ruang buat Mohamad Ghaddar merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Skuad The Red Warriors (TRW) yang turun tanpa kelibat pemain import ternyata `hanyut' dengan asakan barisan pemain Ervin Boban yang begitu ghairah mengasak ke benteng pasukan itu untuk terus menambah jaringan.


PEMAIN JDT II, Mohammad Ghaddar (tengah) diasak pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (kanan) ketika perlawanan Piala Cabaran 2019, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Anak didik Yusri Che Lah tidak dapat menahan asakan bertubi-tubi tuan rumah dan merelakan gol kedua tuan rumah terhasil pada minit ke-25 selepas bola gerakan S Kumaahran disudahkan Ramadhan yang merembat bola leret menewaskan Muhammad Fikri.

Gawang pelawat terselamat daripada dibolosi gol ketiga selepas bola tandukan Ghaddar pada minit ke-28 hasil sepakan lintang Nicolas Fernandez sempat dikuis keluar Mohammad Fikri yang terpaksa bekerja keras dalam perlawanan itu.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menambah derita skuad TRW selepas berjaya mencipta gol ketiga perlawanan pada minit ke-49 apabila Nicolas Fernandez yang melambungkan bola tepat kepada Kumaahran bertindak pantas menolak bola menewaskan Muhammad Fikri.

Serang balas skuad TRW pada minit ke-73 menyaksikan gol yang dicari-cari pasukan itu menjelma apabila pemain gantian, Fauzi Roslan yang tidak dikawal bertindak melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Namun jaringan itu belum cukup untuk pelawat bangkit memburu keputusan seri sebaliknya menerima hakikat tewas 1-3 kepada JDT II dalam perlawanan itu.

Berita Harian X