Selasa, 3 September 2019 | 2:00pm

Fokus pasukan sendiri lagi baik - Cheng Hoe

SEPANG: "Jangan sibuk hal orang!

Demikian pendirian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan dan persiapan Indonesia ketika kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadiun Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Pada masa sama, Cheng Hoe juga tidak mahu fikiran pemain dihimpit dengan isu keselamatan terutamanya wujud perang psikologi di media sosial.

"Semua tahu berkunjung ke Jakarta bukannya mudah. Tetapi setakat ini keseluruhan pasukan nampak baik, pemain bersedia, bersatu untuk cuba dapatkan keputusan positif. 

"Kita tahu Indonesia ada persiapan rapi dengan kemasukan pemain naturalisasi yang boleh membantu mereka. Namun kita ke sana dengan satu matlamat dan perlu fokus setiap perlawanan.

"Media sosial selalu menceritakan perang psikologi tetapi saya selalu ingatkan pemain yang mereka kena fokus kepada pasukan dan permainan sendiri.

“Lebih baik fokus kepada pasukan kita dan bukannya fokus kepada pasukan lawan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Selain diperkuatkan dengan pemain naturalisasi, skuad Garuda kali ini turut dibarisi 'perisik' apabila disertai pemain Pahang, Saddil Ramdani dan tiga lagi nama yang pernah mewarna Liga Malaysia (Liga M) Evan Dimas, Andik Vermansyah dan Ferdinand Sinaga.

Perkembangan itu turut menarik perhatian Cheng Hoe kerana Saddil sudah pasti masak dengan pemain negara khususnya rakan sepasukan di skuad Tok Gajah, Norshahrul Idlan Talaha, Nor Azam Azih, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies.

"Dia tahu macam mana Matt, Azam, Sumareh dan Matyo. Sudah pasti dia akan beritahu (jurulatih dan rakan sepasukan Indonesia) cara permainan kita khususnya pemain Pahang.

“Yang penting, kalau kita fokus permainan kita, kita boleh lepasi halangan itu," katanya.

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X