Selasa, 3 September 2019 | 1:34pm
PEMAIN sayap Indonesia, Saddil Ramdani antara pemain skuad Garuda yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Awasi 4 perisik skuad Garuda

KUALA LUMPUR: Hati hati dengan ‘perisik’ Indonesia!

Kemasukan pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani ke dalam skuad Indonesia bagi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menyaksikan skuad Garuda kini memiliki empat pemain yang sedang mahupun pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selepas Saddil yang mendapat panggilan bagi menggantikan Greg Nwokolo yang mengalami kecederaan, tiga lain pemain yang boleh diturunkan Simon McMenemy untuk bertemu Malaysia adalah Evan Dimas, Andik Vermansyah dan Ferdinand Sinaga yang semuanya pernah beraksi di Malaysia.

Justeru, Indonesia mungkin sedikit lega memandangkan empat pemain terbabit pasti akan ‘membocorkan’ kekuatan dan kelemahan pemain negara sekali gus membantu mereka merencana taktikal lebih berkesan untuk menggagalkan misi negara meraih mata penuh.

Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih mengakui kehadiran beberapa pemain Liga M dapat memberikan kelebihan kepada Indonesia khususnya Saddil memandangkan dia sudahpun mengenali empat tonggak skuad kebangsaan ketika ini iaitu Azam, Norshahrul Idlan Talaha, Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh.

“Saddil adalah rakan sepasukan saya di Pahang dan saya lihat situasi ini mungkin dapat memberi kelebihan kepada mereka.

“Bagaimanapun, kami akan tetap fokus kepada pasukan dan cuba melakukan yang terbaik pada hari permainan nanti kerana kami tahu kemenangan pada perlawanan pertama sememangnya penting,” katanya pada sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Mengulas lanjut aksi bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, pemain berusia 24 tahun itu tampak sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menguatkan mentalnya kerana tahu pasukannya bakal berdepan provokasi melampau daripada penyokong lawan.

“Saya belum pernah berdepan situasi seburuk yang pernah dialami pemain senior sebelum ini tetapi saya kena bersedia dengan apa sahaja. Ini kerana semangat pemain Indonesia sememangnya lain macam apabila menentang Malaysia.

“Saya jangka aksi yang sengit akan ditampilkan dan walaupun keputusan tampak tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlawanan menentang kita sebelum ini, itu tidak bermakna kita boleh beraksi sambil lewa,” katanya.

 

 

Berita Harian X