Isnin, 2 September 2019 | 10:43pm
Cristiano Ronaldo (kiri), Virgil van Dijk (tengah) dan Lionel Messi.

Van Dijk, Ronaldo, Messi bersaing rebut anugerah FIFA

ROME: Pemenang anugerah Pemain Terbaik UEFA yang juga pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk disenarai pendek bagi anugerah Pemain Terbaik FIFA.

Pemain kebangsaan Belanda itu mengetepikan saingan dua bintang, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dengan memenangi gelaran Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) minggu lalu dan trio sama sekali lagi disenarai bagi gelaran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang akan diumumkan di Milan pada 23 September ini.

Van Dijk menjadi tonggak Reds yang menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

Pertahanan England, Lucy Bronze yang turut memenangi anugerah UEFA bagi kategori wanita turut disenarai pendek bagi kategori berkenaan disamping dua tonggak Amerika Syarikat (AS) yang memenangi Piala Dunia, Megan Rapinoe dan Alex Morgan.

Bos Manchester City, Pep Guardiola akan bersaing dengan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino bagi anugerah Jurulatih Terbaik.

Phil Neville, yang mengemudi skuad wanita kebangsaan England ke separuh akhir Piala Dunia Wanita, jurulatih skuad kebangsaan wanita AS, Jill Ellis dan Sarina Wiegman (Belanda) disenarai bagi kategori wanita. - AFP

Senarai pendek anugerah FIFA

Lelaki: 

Cristiano Ronaldo (Juventus/Portugal), Lionel Messi (Barcelona/Argentina), Virgil van Dijk (Liverpool/Belanda)

Wanita:

Lucy Bronze (Lyon/England), Alex Morgan (Orlando Pride/AS), Megan Rapinoe (Reign FC/AS)

Jurulatih skuad lelaki:

Pep Guardiola (Manchester City), Jurgen Klopp (Liverpool), Mauricio Pochettino (Tottenham)

Jurulatih skuad wanita:

Jill Ellis (AS), Phil Neville (England), Sarina Wiegman (Belanda)

Penjaga gol wanita:

Christiane Endler (Paris St-Germain/Chile), Hedvig Lindahl (Wolfsburg/Sweden), Sari van Veenendaal (Atletico Madrid/Belanda)

Penjaga gol lelaki:

Alisson (Liverpool/Brazil), Ederson (Manchester City/Brazil), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona/Jerman)

Anugerah Puskas:

Lionel Messi (Barcelona mln Real Betis), Juan Quintero (River Plate mln Racing Club), Daniel Zsori (Debrecen mln Ferencvaros)

Berita Harian X