Isnin, 2 September 2019 | 1:12pm
TAN Cheng Hoe.

Cheng Hoe ada skuad rahsia cabar Indonesia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui sudah mempunyai bayangan barisan pemain kesebelasan utama bagi aksi pembukaan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Beliau bagaimanapun berkata, barisan kejurulatihannya masih memiliki masa beberapa hari memuktamadkan barisan utama terbaik dalam memastikan keputusan positif dapat dicapai dari gelanggang lawan.

Malah, bekas pengendali Kedah itu juga tampak berpuas hati dengan persembahan beberapa pemain yang baharu dipanggil termasuk Hadin Azman, Brendan Gan dan JPartiban selepas aksi pemanas badan berdepan Jordan, Jumaat lalu.

“Saya rasa kami barisan kejurulatihan sudah ada bayangan kesebelasan utama untuk menentang Indonesia. Tetapi masih ada empat atau lima hari lagi untuk latihan dan yang penting saya nak pemain pulihkan segala tenaga mereka,” katanya.

Selepas berdepan Indonesia, skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kedua Kumpulan G berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September ini.

Justeru, Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau perlu menilai dari semua aspek untuk memilih pemain berdepan Indonesia bagi memastikan tidak menjejaskan persiapan berdepan UAE.

“Kita ada Safawi yang beraksi dengan baik. Begitu juga Hadin yang sudah lama tidak beraksi bersama skuad kebangsaan. Kami kena ada pilihan terbaik untuk pasukan kerana selepas Indonesia, kami akan menentang UAE pula,” katanya.

Selain itu, Cheng Hoe turut menegaskan Harimau Malaya tidak perlu memikirkan soal keselamatan untuk bertandang ke gelanggang Indonesia dan menyerahkan perkara itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“FAM dan PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) sudah beberapa kali mengadakan siri perbincangan mengenai aspek keselamatan.

“Bagi saya pemain tidak perlu tertekan dan apa yang penting kami perlu fokus kepada latihan serta permainan untuk mendapatkan keputusan positif di sana nanti,” katanya.

Berita Harian X