Ahad, 1 September 2019 | 10:12pm
Kelihatan Sadio Mane (dua dari kanan) tidak berpuas hati selepas ditukarkan ketika menentang Burnley di Turf Moor, malam tadi. - Foto Reuters

Sikap Mane tonjol keinginan Reds - Henderson

LONDON: Kapten Liverpool, Jordan Henderson menegaskan sikap yang ditunjukkan Sadio Mane di Burnley, semalam membuktikan keinginan tinggi kelab itu untuk memenangi Liga Perdana.

Mane melepaskan amarahnya di tepi padang selepas digantikan ketika Liverpool merakam kemenangan 3-0 ke atas Burnley dan puncanya dikatakan adalah berpunca daripada rakan sepasukannya, Mohamed Salah tidak melorongkan bola kepadanya.

Pemain sayap Senegal itu jelas tidak gembira ketika melepasi pengendali Reds, Jurgen Klopp dan terpaksa ditenangkan rakan sepasukannya, Henderson, James Milner dan Roberto Firmino di bangku simpanan.

Klopp kemudian menjelaskan segala-galanya berjalan dengan baik selepas insiden berkenaan tetapi Henderson berkata dia lega dengan sikap ditampilkan Mane yang kebiasaannya tenang sambil menyifatkannya sebagai menonjolkan semangat Liverpool.

“Saya melihatnya sekarang dan berulang-ulang kali (darinya). Sadio tidak apa-apa, dia lelaki yang hebat,” kata Henderson. “Ia hanya membuatkan kami terus mendesak antara satu sama lain sepanjang masa.

“Saya fikir ia penting. Kami semua mahu menjadi lebih baik, kami semua mahu meningkat. Kami benar-benar hampir dan saya fikir kami boleh menanganinya.

“Sejujur-jujurnya saya sebenarnya tidak tahu (apa yang menyebabkannya marah). Saya tidak dapat memahami pada awalnya tetapi kemudian apabila dia masuk ke bilik persalinan, dia ketawa dan berjenaka.

“Apa yang penting adalah kami dapat keputusan yang diharapkan. Sadio mengetahuinya. Dia bermain dengan amat baik. Kami sentiasa mahu memberi tekanan kepada satu sama lain. Kami sentiasa mahu meningkat, seperti sekarang dan berterusan. Saya fikir kami memerlukannya.” - AFP

Berita Harian X