Ahad, 1 September 2019 | 8:46pm
Reaksi penyerang Manchester United, Daniel James selepas meledak gol awal ketika menentang Southampton di Stadium St Mary's, semalam. - Foto Reuters

Solskjaer mahu skuad kendaliannya contohi James

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji impak bintang baharu Daniel James selepas pemain sayap itu sekali lagi menyumbat gol buat Red Devils, semalam.

Pemain antarabangsa Wales itu mencetak namanya selaku penjaring ketika United seri 1-1 bertemu Southampton yang menjadi gol ketiganya dalam empat penampilan, musim ini.

Begitupun, United tidak pulang dari St Marys dengan tiga mata selepas Jannik Vestergaard menyamakan kedudukan buat tuan rumah tetapi Solskjaer tidak berselindung untuk menghamburkan pujian terhadap pemain yang dibeli dari Swansea itu.

“Dia datang dan melakukan impak sejak hari pertama latihan, hari ini (semalam), dia melakukan larian, memenangi bola dan menyerang,” kata Solskjaer.

“Saya fikir dia boleh menjadi contoh kepada semua orang. Dia adalah penjaring terbanyak kami, dan ia datang menerusi personaliti, sikapnya. Dia seorang yang merendah diri, bekerja keras dan dia tahu dia boleh menjadi lebih baik.”

Ketajaman James ditagih United sejak mereka membenarkan dua penyerang, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez meninggalkan kelab itu musim panas ini.

Sekali pun kekurangan pilihan di bahagian depan yang menyebabkan polisinya ketika jendela perpindahan dikritik, pengendali dari Norway itu berkata dia cukup berpengalaman bagi menangani situasi berkenaan.

“Kedua-duanya Anthony (Martial) dan Marcus (Rashford) bermain tetapi saya tidak tahu berapa banyak perlawanan dan mereka sudah mempunyai begitu banyak pengalaman bersama pasukan ini,” katanya.

“Saya turut menjangkakan mereka akan menjadi bintang utama. Dan sudah tentu James, sekali pun saya tidak berharap dia akan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Mason (Greenwood) juga tidak bertuah (di Southampton). Kami berada di landasan yang tepat.” - Agensi

Berita Harian X