Ahad, 1 September 2019 | 8:46am
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kanan) diasak pemain Burnley, Dwight Mcneil pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Liverpool pecah rekod kelab

BURNLEY: Pendahulu Liga Perdana Inggeris mencatat rekod baharu kelab dengan 13 kemenangan berturut-turut dalam liga teratas selepas menewaskan Burnley 3-0, sekali gus mengekalkan kelebihan dua mata ke atas juara bertahan Manchester City.

Dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan musim ini, skuad kendalian Jurgen Klopp menuju ke rehat perlawanan antarabangsa dengan semangat membara selepas satu lagi persembahan meyakinkan oleh juara Eropah itu.

“Pemain-pemain beraksi dengan sempurna. Saya sukakan permainan mereka dan ia kemenangan yang layak buat kami,” kata Klopp.

Sadio Mane dan Roberto Firmino menemui sasaran selepas jaringan sendiri Chris Wood mengecewakan benteng kental Burnley di awal permainan.

Satu-satunya aspek negatif buat Klopp ialah reaksi Mane selepas dikeluarkan, dua minit selepas Mohamed Salah memilih untuk melakukan percubaan solo walaupun penyerang Senegal itu berada dalam kedudukan lebih baik.


PEMAIN Liverpool, Sadio Mane mengasak pemain Burnley, Matthew Lowton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Klopp bagaimanapun mengatakan perkara itu sudah diselesaikan dalam bilik persalinan dan pengendali dari Jerman itu tidak akan membiarkan situasi berkenaan merencatkan misi pasukan, yang sudah mengharungi 21 perlawanan Liga Perdana tanpa kekalahan, untuk memburu gelaran liga pertama sejak tahun 1990.

“Kami beraksi cemerlang, banyak situasi 50-50 kerana hantaran-hantaran jauh tetapi kami kerap memulakan gerakan dari belakang. Ada ketika kami bermain dengan begitu baik. Semuanya lengkap,” kata Klopp.

Pengendali Burnley Sean Dyche pula akur dengan kekalahan berkenaan yang berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

“Anda tidak boleh memberikan kelebihan kepada pasukan seperti ini. Mereka akan menghukum kita. Sebaik mereka mendapat bola mereka akan menyakitkan anda,” kata Dyche.

Rekod deretan kemenangan Liverpool sebelum ini dicatat antara April dan Oktober 1990, ketika pasukan dikendali Kenny Dalglish. – REUTERS

 


PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X