Ahad, 1 September 2019 | 12:45am
PEMAIN Manchester City meraikan jaringan Sergio Aguero ketika aksi menentang Brighton and Hove Albion. - Foto AFP

Man City ceria, Chelsea terus kempunan

LONDON: Manchester City merampas kedudukan teratas Liga Perdana hasil kemenangan 4-0 terhadap Brighton, malam tadi ketika Chelsea terus hampa apabila diikat seri oleh Sheffield United.

Leicester pula melangkah ke kedudukan ketiga susulan kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth dengan dua gol dijaringkan Jamie Vardy manakala kemenangan Crystal Palace terhadap West Ham menyaksikan mereka mendaki tangga keempat liga.

Begitupun kedudukan City mungkin tidak lama dengan Liverpool boleh merampas kedudukan teratas jika mereka meraih kemenangan ke atas Burnley dalam aksi lebih lewat.

Beraksi di Etihad, City mendahului seawal minit kedua apabila Kevin de Bruyne menyempurnakan hantaran David Silva sebelum penyerang Argentina, Sergio Aguero menyumbat dua gol pada kedua-dua babak permainan. 

Gol keempat City dijaringkan Bernardo Silva pada minit ke-79 tetapi kemenangan skuad kendalian Pep Guardiola itu perlu dibayar mahal apabila Aymeric Laporte terpaksa diketepikan susulan masalah lutut.

PEMAIN Sheffield United meraikan jaringan penyamaan ketika aksi menentang Chelsea di Stadium Stamford Bridge. - Foto REUTERS

Sementara itu, Chelsea mensia-siakan kelebihan mendahului dengan dua jaringan apabila seri 2-2 bertemu kelab yang baharu dinaikkan pangkat, Sheffield United.

Ia bermakna pengurus baharu, Frank Lampard masih tercari-cari kemenangan sulung di gelanggang sendiri.

Penyerang muda, Tammy Abraham terus mencetak namanya selaku penjaring di Stamford Bridge dengan meledak dua gol pada babak pertama tetapi pelawat bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Callum Robinson dan bekas pertahanan Blues, Kurt Zouma.

Ketika United dan Chelsea terus bergelut, Leicester mencuri tumpuan untuk mencabar dua pasukan teratas dengan penyerang England, Vardy meledak dua gol dan menyempurnakan satu umpanan.

Crystal Palace yang meraih kemenangan mengejut ke atas United di Old Trafford minggu lalu turut meneruskan prestasi baik apabila menewaskan Aston Villa yang beraksi 10 pemain 1-0 dengan gol dijaringkan Jordan Ayew.

Dalam pada itu, Watford yang menghuni tangga tercorot liga mengutip mata pertamanya musim ini apabila mengikat Newcastle 1-1. - AFP

 

 

Berita Harian X