Jumaat, 30 Ogos 2019 | 12:04pm
Gambar fail, pemain Chelsea, Mason Mount meraikan jaringan golnya ketika menentang Leicester City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, 18 Ogos lalu. - Foto REUTERS

Mount, Abraham balas kepercayaan Lampard

LONDON: Musim pertama Frank Lampard di Chelsea masih di peringkat awal tetapi kemunculan Mason Mount dan Tammy Abraham memberi isyarat positif tentang era baharu di Stamford Bridge.

Lampard – yang skuad kendaliannya berdepan Sheffield United hujung minggu ini – berjanji akan memberi peluang kepada pemain-pemain muda apabila dia kembali ke Stamford Bridge.

Pendekatan bekas pemain tengah Chelsea itu sebenarnya dipengaruhi oleh sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas pasukan, tetapi pada masa sama dia turut percaya dengan bakat pemain-pemain di akademi kelab yang terlepas daripada penilaian pengendali sebelum ini.

Hakikatnya John Terry adalah pemain terakhir dipupuk kelab berkenaan sehingga menjadi tonggak utama Chelsea di bawah kendalian beberapa pengendali dari Jose Mourinho hingga ke Maurizio Sarri.

Jika prestasi awal musim menjadi ukuran, Mount dan Abraham patut diturunkan dalam kesebelasan utama Chelsea.


Gambar fail, pemain Chelsea, Tammy Abraham ketika perlawanan menentang Norwich City, 24 Ogos lalu. - Foto Reuters

Mount bermula cemerlang sehingga mendapat tempat dalam skuad England kendalian Gareth Southgate untuk pusingan kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria dan Kosovo.                                                   

Pemain 20 tahun itu berada di Chelsea sejak usianya 6 tahun dan selepas mengharungi semusim sebagai pemain pinjaman di Derby County yang dikendali Lampard, dia mendapat kepercayaan untuk memulakan ketiga-tiga perlawanan liga musim ini.

Mount membalas kepercayaan itu dengan meledak jaringan dalam dua perlawanan terakhirnya, dan turut terbabit dalam kemenangan 3-2 di Norwich City di mana Abraham menjaringkan dua gol pertamanya untuk kelab di Carrow Road.

Abraham menunjukkan potensinya dengan meledak 37 gol liga ketika membantu Aston Villa musim lalu sebelum kembali ke Chelsea pada musim panas. – AFP

Berita Harian X