Selasa, 27 Ogos 2019 | 12:58am
Sumareh dikatakan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pangkal paha. - NSTP/Aziah Azmee

Cheng Hoe pantau situasi Sumareh

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh berada dalam pemantauan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi persahabatan berdepan Jordan, Jumaat ini dan kempen Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai, bulan depan.

Ia susulan pemain Pahang berusia 24 tahun itu dikatakan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pangkal paha.

Malah, Cheng Hoe menjelaskan bukan hanya Sumareh, barisan kejurulatihan juga akan memantau tahap kecergasan semua pemain dalam memastikan aksi terbaik dapat dipamerkan Harimau Malaya.

"Perlawanan terakhir Pahang berdepan Sabah sebelum ini dia (Sumareh) tidak beraksi kerana kecederaan. Kami akan pantau dari segi tahap kecergasan dan kecederaan dia.

"Saya harap dia dapat pulih dalam masa terdekat kerana kita tahu Sumareh mampu memberi impak kepada pasukan," katanya ketika ditemui pada hari kedua latihan pusat Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Selepas berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta untuk aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September ini.

Selain itu, Cheng Hoe turut mengingatkan kepada semua pemain bahawa aksi berdepan Indonesia sangat penting bagi mendapatkan motivasi dan keyakinan untuk aksi seterusnya.

"Mana-mana kejohanan pun perlawanan pertama cukup penting dan sudah pasti bertandang ke Indonesia bukan tugas yang mudah. Pemain cuma tidak boleh terlalu mengikut emosi yang boleh membuatkan kita hilang fokus.

"Kalau tengok sejarah pertemuan Malaysia dan Indonesia, keputusannya nampak seimbang. Tapi kali ini Indonesia dilihat lebih serius terutama dengan penambahan lima atau enam pemain naturalisasi dan saya rasa pasukan mereka lebih mantap," katanya.

Berita Harian X