Ahad, 25 Ogos 2019 | 1:51pm
PENOLONG jurulatih Melaka United (MU), Mohd Nidzam Adzha Yusoff. - Foto Rasul Azli Samad

Tiada faktor luar pengaruhi keputusan - MU

MELAKA: Penolong jurulatih Melaka United (MU), Mohd Nidzam Adzha Yusoff menolak andaian yang mendakwa ada faktor luar mempengaruhi kekalahan 1-3 pasukan terbabit kepada FELDA United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya tiada sebarang masalah yang mengganggu pemain sehingga boleh menjejaskan prestasi mereka.

Katanya, dia melihat faktor kecederaan pemain ada sedikit mempengaruhi apabila ia menyebabkan perubahan taktikal yang menyaksikan Patrick Reichelt cedera pada babak pertama.

Malah MU juga terpaksa mengeluarkan import Korea Selatan, Jang Suk Won akibat kecederaan pada babak kedua.

"Kurang fokus dan melakukan kesilapan menjadi faktor lawan berjaya bangkit dan memenangi perlawanan.

"Kami gembira pada 45 minit pertama dengan prestasi yang positif, namun mereka mengambil peluang menghukum kami selepas melakukan kesilapan," katanya.

Menurutnya, bermain lebih baik di tempat lawan minggu lalu, namun tewas kepada lawan sama kali ini akan terus diperbaiki pada sesi latihan.

Katanya, masih terdapat masa untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam masa sama mengharapkan kecederaan pemain akan segera pulih.

Apapun, kerja keras amat penting untuk memastikan dua baki perlawanan seterusnya selepas ini memihak skuad Hang Tuah.

Melaka dijadualkan berdepan Selangor di Stadium Shah Alam pada 14 September diikuti PDRM pada 18 September di Stadium Hang Jebat.

Berita Harian X