Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:04am
Pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (tengah) menyekat kemaraan pemain FELDA United, Muhammad Faiz Mazlan (kanan) pada aksi Piala Malaysia, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. - Foto Rasul Azli Samad

Kebangkitan FELDA hampakan MU

MELAKA: FELDA United bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Melaka United (MU) 3-1 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menghidupkan impian FELDA, yang terlebih dulu dibolosi pada babak pertama menerusi jaringan Luka Milunovic pada minit ke-37 untuk meraih tiket ke suku akhir.

Jaringan Milunovic tercipta hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pemain sayap lincah Deevan Raj yang menyaksikannya mengambil keputusan tepat melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Tetapi ketika Hang Tuah agak selesa dengan jaringan berkenaan, kapten pasukan FELDA, Hadin Azman yang menerima hantaran jauh rakan sepasukannya melakukan percubaan tepat untuk meledak gol penyamaan pada minit-minit terakhir babak pertama.


Pemain FELDAUnited, Muhammad Anwar Ibrahim (kiri) menghalang pemain Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi pada aksi Piala Malaysia, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. - Foto Rasul Azli Samad

Babak kedua menyaksikan asakan hebat dilakukan oleh anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan namun kelekaan sekali lagi membawa padah selepas hantaran lintang S Chanturu disudahkan dengan tenang oleh Muhammad Danial Amier Nurhisham pada minit ke- 69.

Malah kubu pasukan Melaka yang dikawal penjaga gol Ahmad Solehin Mamat sekali lagi bocor, tiga minit berselang menerusi jaringan penalti Hadin untuk FELDA yang sekali gus mengubah skrip keputusan perlawanan.

Gol terbabit berpunca daripada kesilapan Ahmad Solehin yang cuba mengeluarkan bola namun singgah ke kaki Khairul Amri yang cuba menolak masuk ke gawang terbuka sehingga memaksa Razman Roslan menjatuhkan import Singapura terbabit.

Kekalahan MU menyebabkan skuad terbabit belum mampu mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun masih berada di carta teratas Kumpulan D dengan kesemua pasukan masih memiliki baki dua perlawanan.

1501 dibaca
Berita Harian X