Sabtu, 24 Ogos 2019 | 10:37pm
Pemain Chelsea, Tammy Abraham (kanan) merembat ke gawang Norwich City pada perlawanan Liga Perdana, sebentar tadi. - Foto EPA

Dua gol Abraham julang Chelsea

LONDON: Frank Lampard meraih kemenangan sulung dalam aksi kompetitif selaku pengurus Chelsea apabila skuad kendaliannya menewaskan Norwich City 3-2 pada aksi Liga Perdana, sebentar tadi.

Selepas membuka kempen dengan kekalahan besar kepada Manchester United disusuli keputusan seri dengan Leicester di gelanggang sendiri, Lampard akhirnya boleh merasai nikmat tiga mata penuh selepas mengambil alih kerusi panas itu, musim ini.

Pemain kelahiran akademi Chelsea, Tammy Abraham menyumbat dua gol manakala seorang lagi pemain muda Mason Mount turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Lampard menyenaraikan kesebelasan termuda Blues dalam tempoh 25 tahun.

Begitupun, Chelsea tidak meraih kemenangan yang mudah di Carrow Road dengan Todd Cantwell dan Teemu Pukki masing-masing menyamakan kedudukan buat Norwich untuk kedudukan terikat 2-2 selepas babak pertama berakhir sebelum Abraham menyumbat gol kemenangan.


Reaksi pemain Norwich City, Todd Cantwell selepas menjaringkan gol ketika menentang Chelsea, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Abraham meledak gol pertamanya untuk Chelsea seawal minit ketiga menerusi rembatan separuh voley berpunca hantaran Cesar Azpilicueta tetapi kedudukan itu pantas disamakan Cantwell, dua minit berselang.

Mount kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-17 tetapi penyerang berbisa Norwich, Pukki kembali menyamakan kedudukan dengan meledak gol kelimanya pada musim ini.

Kerja keras Chelsea pada babak kedua akhirnya berhasil apabila Abraham berjaya melepasi pertahanan Norwich sebelum menewaskan Krul ketika permainan berbaki 20 minit.

Chelsea berpeluang untuk menambah jaringan tetapi ia dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila gol Olivier Giroud dibatalkan. - Agensi

 

 

1046 dibaca
Berita Harian X