Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:50pm
Pemain JDT, Diogo Luis Santo (kanan) berebut bola dengan pemain PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo ketika perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT `makan besar' tewaskan PKNP FC

 

JOHOR BAHRU: Slot ke saingan suku akhir Piala Malaysia semakin hampir menjadi milik Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas membelasah PKNP FC 5-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang jelas dikuasai JDT, benteng pelawat dipaksa bekerja keras mengekang asakan bertali arus tuan rumah yang sering memberi ancaman menerusi gerakan bermula di posisi tengah selain gerakan berbahaya di posisi sayap kiri dan kanan. 

Benteng pelawat akhirnya roboh pada minit ke-12 berpunca daripada sepakan sudut Gonzalo Cabrera yang mengumpan kepada Leandro Velazquez seterusnya melakukan sepakan lintang menyaksikan Mauricio Santos menanduk bola menewaskan Shafiq Hafifi.

Walaupun Shafiq berjaya menampan bola rembatan Diogo Luis Santo pada minit ke-31 selepas menerima bola umpanan Corbin Ong, gawang PKNP FC tetap bolos apabila Cabrera berada di posisi terbaik untuk melakukan sentuhan terakhir bagi meletak tuan rumah mendahului 2-0.


Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) diasak pemain PKNP FC, Mohd Ezanie Mat Salleh ketika perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tindakan Filemon Anyie Standly menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti pada minit ke-36 menyaksikan pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disudahkan sendiri Safawi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah sekali lagi dihadiahkan penalti selepas Santo dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-49 dan beliau sendiri tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti apabila merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol.

Gol kelima tuan rumah hadir pada minit ke-62 selepas Safawi mencetak gol kedua peribadi apabila menyudahkan bola umpanan Santo bagi memastikan skuad Harimau Selatan menebus kehampaan ketika seri 2-2 pada aksi 16 Ogos lalu.

3080 dibaca
Berita Harian X