Jumaat, 23 Ogos 2019 | 10:36pm
Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane pada sidang akhbar di Valdebebas, Madrid. - Foto REUTERS

Zidane cabar Bale

MADRID: Zinedine Zidane mencabar Gareth Bale untuk menunjukkan kenapa pemain itu masih dikatakan seorang daripada pemain terbaik dunia ketika dia merancang barisan pemainnya di Real Madrid.

Kejutan berlaku apabila Bale, 30, disenaraikan dalam kesebelasan utama berdepan Celta Vigo hujung minggu lalu ketika Madrid membuka kempen dengan kemenangan 3-1 dalam La Liga dan Bale menjadi pemain terbaik perlawanan. 

Zidane berkata pada Julai bahawa ia akan menjadi “yang terbaik buat semua orang” jika Bale meninggalkan Madrid musim panas ini tetapi pemain Wales itu mahu kekal dan tampak semakin mendapat keyakinan jurulatihnya.

“Apa yang berubah ialah pemain itu akan kekal, tidak lebih daripada itu,” kata Zidane dalam sidang akhbar menjelang pertemuan di laman sendiri awal pagi Ahad ini berdepan Real Valladolid.

“Perkara paling penting ialah pemain itu mahu kekal. Memang benar banyak diperkatakan mengenainya, oleh saya juga, tetapi dia akan kekal.

“Dia pemain yang hebat, dia sudah menunjukkannya sebelum ini dan dia perlu menunjukkannya sekali lagi. Dia mesti menjadi pemain yang kita pernah kenali.” - AFP 

 

 

Berita Harian X