Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:32pm
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Aziah Azmee

Cheng Hoe tak hirau Garuda Celup

KUALA LUMPUR: Awas dengan ‘Garuda Celup!’

Indonesia yang bakal bertemu Malaysia pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 tampak begitu serius apabila membariskan enam pemain naturalisasi bagi menghadapi kempen kelayakan kali ini.

Pengendali skuad Garuda, Simon McMenemy memanggil enam pemain naturalisasi – Otavio Dutra (Persebaya), Victor Igbonefo (PTT Rayong), Stefano Lilipaly (Bali United), Greg Nwokolo (Madura United), Alberto Goncalves (Madura United, Osas Saha (Tira-Persikabo) dengan dua daripadanya beraksi di bahagian pertahanan sementara empat membarisi bahagian serangan.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan Indonesia yang bukan setakat akan beraksi di laman sendiri pada aksi pertama - mempunyai kelebihan besar daripada segi pemain yang dimiliki mereka untuk berdepan cabaran Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, 5 September ini.

Mengakui situasi itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagaimanapun tidak menghiraukan pendekatan yang diambil oleh pasukan lawan namun tetap berjaga-jaga memandangkan kehadiran pemain naturalisasi pasti membantu mereka.

“Semua pasukan sudah tentu mahu membariskan pemain yang terbaik pada pusingan kelayakan kerana mahu mendapatkan keputusan yang positif. Masing masing mengimpikan untuk beraksi di pentas tertinggi iaitu Piala Dunia,” kata Cheng Hoe.

“Namun bagi saya, kita tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kekuatan lawan. Fokus ketika ini adalah untuk mempersiap pasukan supaya dapat bersedia sepenuhnya bagi pusingan kelayakan ini.

“Apapun, kita perlu berhati hati kerana jika hendak dibandingkan dengan barisan pemain Indonesia pada Piala AFF 2018, pemain mereka pada kempen kelayakan kali ini nampak lebih baik.”

Sebagai rekod, pusingan kedua kelayakan kali ini menyaksikan skuad negara diundi dalam satu kumpulan bersama Thailand, Vietnam, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berita Harian X