Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:17pm
Penyokong TFC menaikkan poster Allahyarham Mohd Suffian ketika TFC menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Ahad lalu. - NSTP/Malik Muhamad

TFC tak bimbang pengganti Suffian

KUALA TERENGGANU: Biarpun terasa dengan pemergian penjaga gol berpengalaman,  Allahyarham Mohd Suffian Abd Rahman, kem Terengganu FC (TFC) tidak begitu resah untuk mencari pemain yang bakal mengisi posisi berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, penjenamaan skuad bola sepak negeri yang mempunyai pasukan pelapis memberi kelebihan kepada skuad TFC.

"Satu kehilangan yang besar kepada sukan bola sepak negeri kerana arwah Suffian adalah seorang pemain yang berdisiplin selain menjadi contoh kepada pemain lain.

"Arwah yang dipanggil ‘Abang Long’ dalam pasukan  juga seorang pemain yang tidak lokek ilmu kerana sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemain lain, buktinya walaupun arwah tidak mampu menjalani latihan kerana tidak sihat, arwah tetap berusaha turun padang.

"Dengan usianya 41 tahun, arwah juga masih kekal aktif selain tidak banyak kerenah dan tiada masalah dengan pihak pengurusan dan rakan sepasukan.

"Kita tidak begitu bimbang dengan ketiadaan arwah kerana masih ada pemain lain yang mampu mengisi kuota penjaga gol terutama daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) sebagai pasukan 'feeder club'," kata Hishamuddin.

Mohd Suffian yang menjadi watak penting skuad Penyu musim lalu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.10 tengah hari Sabtu lalu di rumah bapa mentuanya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus selepas mengalami serangan jantung.

Selain Wan Azraie Wan Teh yang kini mengambil alih penjaga gol utama pasukan, dua lagi penjaga gol skuad iaitu Muhamad Ilham Amirullah Razali dan Shafawi Mohamad juga mampu beraksi dengan baik.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, PBSNT menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga arwah.

"Sumbangan itu bagi meringankan beban keluarga Suffian dan berharap peminat setia mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman," kata Hishamuddin.

Berita Harian X