Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:37pm

Skuad B-18 gagal pertahan kejuaraan

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad bawah 18 (B-18) tahun negara mempertahankan kejuaraan AFF B-18 terkubur selepas tumpas 0-1 di tangan Australia dalam aksi final di Stadium Thong Nhat, Vietnam, sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan Australia melunaskan dendam terhadap Malaysia selepas tewas 0-3 pada aksi peringkat Kumpulan B, 13 Ogos lalu. 

Skuad negara dilihat bermain bertahan sepanjang babak pertama sekali gus menyaksikan tidak banyak percubaan berbahaya dapat dilakukan ke kubu Australia.

Namun, anak buah Brad Maloney menampilkan persembahan lebih baik di babak kedua dengan percubaan terbaik dihasilkan menerusi sepakan jarak jauh Firdaus Kaironnisam pada minit ke-59 yang menggegar palang Australia.

Enam minit selepas itu, skuad negara terus memberi tekanan terhadap kubu Australia dan kali ini menerusi percubaan Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya ditepis penjaga gol Kai James Calderbank-Park.

Maloney terpaksa memasukkan penjaga gol yang juga kapten skuad negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil pada minit ke-76 selepas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami kecederaan.

Namun, belum sempat Firdaus menyesuaikan diri sepenuhya dengan keadaan permainan, dia tertewas dengan sentuhan Lachlan Ricky Brook pada minit ke-79.

Pintu gol skuad negara hampir bocor lagi dan kali ini menerusi rembatan jarak jauh Kristian Popovic yang menggegarkan tiang pada masa kecederaan.

Skuad negara cuba bangkit memburu jaringan penyamaan dengan beberapa percubaan, namun kedudukan 1-0 memihak Australia kekal hingga wisel penamat.

Untuk rekod, skuad B-18 negara muncul juara kejohanan sama pada tahun lalu selepas menundukkan Myanmar 4-3 di pentas akhir.


BARISAN skuad bawah 18 (B-18) tahun negara. - Foto ihsan Facebook FAM

Berita Harian X