Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:30pm
TAN Cheng Hoe

Cheng Hoe panggil 9 pemain baharu

Oleh Zulfaizan Mansor

zulfaizan@mediaprima.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggil sembilan pemain baharu untuk menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dijadualkan bermula pada 25 Ogos ini.

Mereka adalah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan tonggak pertahanan Selangor, Syahmi Safari yang sebelum ini terpaksa diketepikan daripada panggilan skuad kebangsaan pada Jun lalu kerana kecederaan.

Turut dipanggil adalah tiga pemain Perak iaitu Brendan Gan, J Partiban dan Nazirul Naim Che Hashim selain dua pemain FELDA United iaitu Hadin Azman dan Danial Amier Norhisham serta Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS FC).

Semua sembilan yang dipanggil ini adalah sebagai pengganti kepada lima pemain daripada senarai skuad 23 pemain skuad Harimau Malaya ketika menentang Timor Leste pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

Pemain berkenaan adalah Syazwan Andik, Faisal Abdul Halim, Syazwan Zainon, Kenny Pallraj dan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menerusi penyenaraian 27 pemain yang akan menyertai latihan pusat sebagai persiapan untuk aksi persahabatan berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 Ogos ini.

Sementara itu, lima pemain lagi iaitu Khairulazhan Khalid (Selangor), Amirul Azhan Aznan (Perak), Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin (Sabah) serta Syazwan Andik diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat pemain dalam senarai 27 pemain yang dipanggil itu mengalami kecederaan.

Selepas berdepan Jordan, Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk dibawa ke Jakarta bagi menghadapi perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia pada 5 September ini.

Skuad Harimau Malaya seterusnya akan mengharungi aksi kedua kelayakan Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di gelanggang sendiri pada 10 September ini.

Berita Harian X