Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:12pm
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp memeluk penjaga golnya, Adrian. - Foto AFP

Memang tabiat penjaga gol Liverpool: Klopp

SOUTHAMPTON: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp mempertahankan penjaga golnya Adrian yang melakukan kesilapan sehingga dibolosi dalam kemenangan 2-1 ke atas Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.

“Pada minit ke-83 Adrian merasakan ‘Saya bermain baik jadi mungkin saya perlu melakukan kesilapan seperti Alisson Becker (musim lalu) lakukan dan menjadikan permainan lebih terbuka!’,” kata Klopp merujuk kepada tindakan Adrian menghantar bola ke kaki Danny Ings untuk gol tunggal Southampton.

Jika percubaan lewat permainan Ings sekali lagi menemui sasaran, Klopp mungkin memberikan jawapan berbeza tentang kesilapan penjaga gol dari Sepanyol itu.

“Jelas sekali ia tabiat penjaga gol di Liverpool. Tidak ada masalah selagi kami memenangi perlawanan.

“Buku lali Adrian bengkak dan kami banyak menghantar bola kepadanya, tetapi saya gembira dengan persembahannya.

“Saya tidak rasa gol berkenaan kerana itu (kecederaan buku lali). Dia bagus dengan kakinya dan jika anda melihat buku lalinya selepas Rabu anda mungkin akan berkata yang hantaran kepada Ings itu lebih baik daripada yang dijangka,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, anak buah Klopp bergelut di babak pertama sebelum Sadio Mane meletakkan Liverpool di depan sejurus sebelum rehat di St Mary’s.

Roberto Firmino mengukuhkan kedudukan pada minit ke-71 sebelum kesilapan Adrian membolehkan Southampton merapatkan jurang pada minit ke-83. – AFP

 

 

 

Berita Harian X