Ahad, 18 Ogos 2019 | 12:25am
Penjaga gol Liverpool, Adrian. - Foto Reuters
Aksi penjaga gol Liverpool, Adrian ketika berdepan dengan pemain Southampton, Jannik Vestergaard. - Foto Reuters

'Kesilapan bodoh' Adrian cemaskan Liverpool

SOUTHAMPTON: Kesilapan penjaga gol Liverpool, Adrian membuatkan pasukan itu cemas seketika sebelum menang 2-1 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Selepas mendahului 2-0, Adrian membuka peluang buat Southampton kembali bernafas apabila kesilapannya membuat hantaran membolehkan bekas penyerang Liverpool, Danny Ings meletakkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-83 sekali gus merapatkan jurang buat pasukan berkenaan.


Pemain Southampton, Danny Ings (kiri) meraikan jaringannya. - Foto Reuters

Bagaimanapun, skuad bimbingan Jurgen Klopp kekal fokus sepanjang baki masa permainan untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut musim ini.

Terdahulu, Sadio Mane meletakkan Liverpool di depan menerusi jaringannya pada lewat babak pertama perlawanan sebelum Roberto Firmino meledak gol kedua minit ke-71.


Pemain Liverpool, Sadio Mane (kiri) diasak pemain Southampton, Jannik Vestergaard dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium St Mary's. - Foto Reuters

Keputusan itu menyaksikan anak buah Klopp kini mengumpul enam mata selepas turut melakar kemenangan 4-1 ke atas Norwich City pada aksi pembukaan, minggu lalu sekali gus membolehkan pasukan berkenaan berada di tangga teratas liga.

Bagaimanapun, juara bertahan, Manchester City atau Tottenham Hotspur yang membuat perhitungan antara satu sama lain sebentar lagi berpeluang untuk merampas kedudukan itu tetapi bergantung kepada keputusan dalam perlawanan berkenaan. - Agensi

5391 dibaca
Berita Harian X