Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:15pm
Skuad negara mara ke final Kejuaraan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019. - Ihsan FAM

B-18 AFF: Skuad negara benam Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad negara mara ke final Kejuaraan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019 selepas menundukkan Indonesia 4-3 dalam aksi 120 minit di Stadium Binh Duong, sebentar tadi.

Aksi penuh dramatik itu menyaksikan anak buah Brad Maloney bangkit untuk meraih kemenangan pada masa tambahan selepas dikejutkan dengan semangat juang lewat permainan yang ditunjukkan pemain Indonesia.

Malaysia terlebih dahulu mendahului permainan pada minit ke-18 apabila sepakan percuma Muhd Mukhairi terbias pertahanan lawan sebelum melambung dan disudahkan dengan tampanan Mohd Aiman Afif Md Afizul untuk skuad negara mendahului 1-0.

Taktikal Indonesia yang kerap mengasak menggunakan kepantasan di bahagian sayap jelas mendatangkan masalah kepada Malaysia dan gerakan daripada sayap kanan mereka membuahkan hasil apabila Beckham Putra Nugraha mengikat kedudukan pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, Luqman Hakim Shamsudin menghukum pertahanan Indonesia yang tidak mengawalnya apabila dia melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Ernando Ari Sutaryadi pada minit ke-54.

Namun, Malaysia dikejutkan dengan dua gol pantas oleh Muhd Fajar Fathur Rahman pada minit ke-80 dan Muhd Muhd Salman Alfarid pada minit ke-82 untuk membolehkan Indonesia mendahului 3-2 sekali gus memberi tekanan kepada pemain negara.

Peluang Malaysia ke final kembali terbuka apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-84 dan tandukan Harith pada minit ke-98 memastikan Malaysia mara ke pentas final buat kali ketiga berturut turut.

5389 dibaca
Berita Harian X