Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:57pm
ZUBIR Azmi

6 mata belum jamin Tok Gajah ke suku akhir

 

KUANTAN: Skuad Pahang yang merekodkan dua kemenangan berturut-turut mahu meneruskan momentum itu apabila bertemu Sabah di Stadium Likas, Sabtu ini. 

Pertahanan Tok Gajah, Zubir Azmi berkata, enam mata diraih itu belum lagi menjamin tempat ke suku akhir Piala Malaysia.  

"Oleh itu, kami perlu mengekalkan prestasi untuk melakar kemenangan ke atas Sabah biarpun tahu bakal berdepan saingan sengit. 

"Lebih-lebih lagi Sabah gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan dan mereka sudah pasti mahukan kemenangan.  

"Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50 tetapi dengan komitmen dan pencapaian semasa, kami akan pastikan kemenangan berpihak kepada kami," katanya. 

 

Ditanya prestasi semasa selepas beraksi dalam tujuh perlawanan berturut-turut termasuk dua perlawanan Piala Malaysia, Zubir berterima kasih atas kepercayaan diberikan jurulatih, Dollah Salleh. 

Katanya, keyakinannya semakin bertambah selepas lama tidak beraksi terutama berada dalam  kesebelasan utama.  

"Saya harap dapat membantu skuad Tok Gajah meraih kejuaraan selepas misi mengucup Piala Liga Super dan Piala FA musim ini berakhir.  

"Namun, dengan baki satu lagi piala berprestij yang masih ada, kami akan melakukan yang terbaik untuk kembali melonjakkan imej Pahang," katanya. 

995 dibaca
Berita Harian X