Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:56pm
LUQMAN Hakim Shamsuddin

Malaysia bukan pasukan 'ayam-ayam' - Luqman Hakim

KUALA LUMPUR: Selepas meledak dua gol menentang Australia, penyerang licik negara Luqman Hakim Shamsuddin berazam membantu Malaysia melakar kemenangan berdepan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 esok.

Keazamaan itu bukan sahaja demi memastikan Malaysia selaku juara bertahan mara ke separuh akhir, tetapi kemenangan ke atas juara lima kali itu amat bermakna bagi mengubati kekecewaan tewas kepada pasukan sama 2-4 pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lepas.

Lebih perit, Luqman yang menjaringkan satu gol buat skuad remaja dilayangkan kad merah oleh pengadil Omar Mohamed Ahmed Hassan Alali pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, September lalu.

Justeru, pemain berusia 17 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu bertekad membuktikan kemampuan sebenar skuad negara pada aksi di Stadium Thang Long, Ho Chi Minh, 3.30 petang waktu tempatan (4.30 waktu Malaysia).

“Misi berdepan Thailand ialah saya mahu balas dendam semula kekalahan 4-2 pasukan tahun lepas...lagi pun saya dikenakan kad merah dalam perlawanan itu. Disebabkan itu saya bersama pasukan kali ini ingin buktikan bahawa Malaysia bukan pasukan ‘ayam-ayam’.

“Bagi saya tidak kira siapa pun lawan kami sama ada Vietnam, Thailand atau Australia…kami pun ada kaki untuk berikan aksi terbaik. Kalau kami berusaha keras dan bermain sebagai satu pasukan, insyaAllah kami akan dapat kemenangan,” kata pemain kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.

Selepas empat perlawanan, Malaysia kini menghuni kedudukan teratas Kumpulan B berkongsi sembilan mata bersama Australia di kedudukan kedua diikuti Vietnam ketiga sementara Thailand tercorot dengan dua mata.

Skuad kendalian ketua jurulatih sementara, Brad Maloney memulakan kempen kejohanan berlangsung di Vietnam itu dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah sebelum bangkit meraih tiga kemenangan berdepan Singapura 3-1, Kemboja (3-0) dan kejayaan menundukkan Austrlia 3-0, semalam. – BERNAMA

Berita Harian X