Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:59pm
B. Sathianathan.

Bukan kerana 'orang itu' - Sathianathan

 

KUALA LUMPUR: Perkembangan positif yang ditunjukkan skuad remaja negara pada kempen AFF Bawah 15 tahun (B-15) dan Bawah 18 tahun (B-18) ketika ini bukan berpunca daripada 'magis' seseorang individu semata-mata.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan menegaskan pencapaian memberangsangkan itu adalah hasil usaha keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama erat dicetuskan bersama kerajaan pusat.

Justeru, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menyifatkan tidak wajar sekiranya ada dakwaan yang menyatakan kejayaan ketika ini adalah usaha seorang individu memandangkan apa yang dinikmati ketika ini adalah hasil daripada pembabitan semua pihak.

Malah, Sathianathan mengakui betapa bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin adalah antara individu yang menjadi tulang belakang selepas menyaksikan kebangkitan prestasi pasukan muda negara di pentas antarabangsa.

"Tiada siapa boleh mendakwa kejayaan hari ini adalah inspirasi atau ilham daripada satu individu tetapi ini adalah hasil daripada kerja berpasukan di antara FAM dan kerajaan pusat.

“Jika anda masih bertanyakan kepada saya siapakah individu bertanggungjawab dalam kebangkitan prestasi ini, secara peribadi saya boleh sebutkan dua nama iaitu Khairy dan Hamidin, bukannya orang lain.

“Ini kerana kita harus ingat Khairy yang membentangkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) kepada Parlimen di mana ini adalah kali pertama bola sepak berada dalam agenda negara.

“Jadi idea Khairy ini membuktikan pemain muda kita memiliki potensi besar. Peranan Hamidin pula mengembangkan idea Khairy menjadi lebih baik mengikut kesesuaian bola sepak tempatan.

“Jika betul ada orang yang mahu ‘tuntut’, sepatutnya datang daripada dua individu ini bukannya orang lain. Kalau setakat datang untuk menguruskan projek yang sudah ada atau sudah dirancang, semua orang boleh lakukan,” katanya.

Berita Harian X