Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:38pm
LUQMAN Hakim Shamsudin

AFF B-18: Luqman kemaruk gol

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bawah 18 tahun negara (B-18), Luqman Hakim Shamsudin menegaskan perjuangannya bersama pasukan belum selesai sekali pun berjaya membenam Australia 3-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Thanh Long, semalam.

 "Pertama sekali saya bersyukur kerana berjaya menjaringkan gol buat pasukan. Mungkin ini rezeki saya untuk jaringkan gol ketika menentang Australia.

 "Ia memang kemenangan bermakna apatah lagi lawan pasukan pilihan dan pemain mereka beraksi dalam Liga Australia.

 “Namun, kami tidak boleh terlalu gembira kerana masih ada lagi perlawanan menentang Thailand. Jadi, kami perlu menang dengan jaringan besar dan saya akan cuba sumbat gol lagi dalam misi kami untuk pertahankan kejuaraan," kata Luqman ketika dihubungi semalam.

 Kemenangan ke atas Australia itu mencerahkan peluang skuad Brad Maloney layak ke separuh akhir apabila mendahului carta kumpulan dengan berkongsi sembilan mata dengan lawan itu tetapi  dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

 Skuad negara akan melengkapkan aksi kumpulan dengan menentang Thailand, manakala Vietnam membuat perhitungan dengan Kemboja sementara Australia menentang Singapura, esok.

 Terdahulu, Luqman membuktikan mengapa dia dianggap sebagai pertama negara apabila meledak dua gol pada minit ke-17 dan 39 dalam perlawanan itu.

 Sekalipun bertubuh kecil, kedua-dua gol yang dihasilkannya jelas menunjukkan betapa pemain kelahiran Kelantan itu memiliki kemahiran hebat untuk melepasi kekangan pertahanan Australia yang lebih besar daripadanya.

 Satu lagi gol negara disumbat Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-27.

Berita Harian X