Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:41am
PEMAIN tengah Chelsea, N’Golo Kante. - Foto AFP

Kante terlepas peluang cabar Liverpool

ISTANBUL: Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante dijangka tidak diturunkan pada pertembungan bertemu Liverpool dalam Piala Super UEFA, kata ketua jurulatih Frank Lampard.

Pemain Perancis itu hanya beraksi selama 17 minit ketika kekalahan 0-4 kepada Manchester United di Old Trafford Ahad lalu berikutan tahap kecergasan yang merosot.

Lampard berkata pemain berumur 28 tahun itu bergelut dengan kecergasan dalam perlawanan itu dan kini berdepan masalah untuk persiapan menghadapi Liverpool di Istanbul pada awal pagi esok.

“Kante diketepikan kerana kecederaannya. Saya sedar betapa pentingnya khidmat dia,” kata Lampard dalam sidang media, pagi tadi.

“Dia menghadapi kecederaan kecil dalam perlawanan itu, jadi kami sedang menilainya.”

Lampard menegaskan tiada perubahan besar bagi pasukannya ketika perlawanan bertemu Liverpool meskipun belum pulih daripada  kekecewaan bertemu United.

“Saya memilih pasukan terbaik untuk memenangi permainan, tanpa mengira umur,” kata Lampard. – AGENSI

 

1261 dibaca
Berita Harian X