Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:31am
SADIO Mane bersama Xherdan Shaqiri, Harvey Elliott dan Joel Matip ketika ditemui pada sesi latihan di Istanbul. - Foto Reuters

Mane sedia gempur Chelsea

ISTANBUL: Sadio Mane sudah bersedia diturunkan dalam perlawanan menentang Chelsea di Piala Super UEFA, awal pagi esok.

Mane kembali menjalani latihan selepas 16 hari diberi rehat sekembali dari kempen Piala Negara-Negara Afrika, di Mesir bulan lalu.

Mane, 27, terlepas semua aksi pra musim Liverpool termasuk perlawanan menentang Manchester City dalam Perisai Komuniti di Wembley tetapi sempat dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menentang Norwich City dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Selepas kembali ke gelanggang selama 16 minit membantu kemenangan 4-1 Liverpool di Anfield, Mane bertekad membantu rakannya menewaskan Chelsea di Istanbul, awal pagi nanti.(jam 3 pagi waktu Malaysia).

"Saya sudah sedia. Keletihan hanya di fikiran,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, pagi tadi.

"Saya memang sudah mengharungi banyak perlawanan yang lama. Saya rasa tempoh cuti saya tidak lebih 20 hari sejak tujuh tahun lalu.

"Saya sudah biasa dengannya. Itu sudah pasti. Saya sudah berada di sini, mari lakukannya!”

Namun kejayaan pertama Liverpool mengatasi Norwich terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila penjaga gol utama dari Brazil,  Alisson Becker, terpaksa berehat akibat kecederaan dan bakal terlepas aksi beberapa bulan.

Sepanjang ketiadaannya, penjaga gol kedua, Adrian akan berperanan ketika aksi di Stadium Vodafone Arena dan tidak sabar memulakan aksi penuh bersama Virgil van Dijk.

"Adrian sudah bersama kami dua minggu. Kami sentiasa bekerjasama setiap hari,” kata Van Dijk.

"Dia pemain berpengalaman dan perlu memperagakan kualitinya. Dia sudah beraksi dalam banyak perlawanan Liga Perdana Inggeris dan kita boleh tengok kebolehannya ketika dia berlatih.”

"Dia perlukan sokongan kami, kita bertahan bersama. Kami perlukan dia di pintu gawang. Dia pasti melakukan kerjanya dengan baik,” kata Van Dijk. – Agensi 

1941 dibaca
Berita Harian X